Laksa laris cuma sekejap, pelanggan macam tak nampak gerai selepas viral! Anak buat tawaran berani demi gembirakan ibu
SUDAH jadi lumrah orang berniaga jualan tidak akan selamanya laris dan sentiasa dipenuhi pelanggan.
Begitulah cerita Muhammad Firdaus Abdul Razak, 21, yang mana Laksa Kedah dijual ibunya, Faizah Mohd Iazit, 47, kembali suram, tidak seperti selepas viral ketika bulan Ramadan.
Bercerita kepada mStar, Firdaus atau lebih mesra disapa sebagai Daus berkata laksa ibunya kini sering tidak habis dijual memandangkan tapak jualan sudah berpindah di hadapan Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang.
“Selepas viral mengenai jualan laksa ibu saya dekat bazar di Teluk Ayer Tawar masa bulan puasa tu memang setiap hari habis.
“Sekarang bazar tu dah tutup jadi mak kembali berniaga di tempat biasa seperti sebelum ni dekat tepi jalan. Setiap pagi sebelum subuh mak akan sediakan 50 bungkus untuk dijual.
Ibu Daus berniaga di bazar Ramadan pada bulan puasa tahun ini.
“Ada hari beberapa bungkus saja dapat dijual, ada hari separuh dapat dijual. Mak tak pernah merungut cuma bila tak habis jual dia banyak temenung,” ujar Daus.
Menurut Daus yang kini bekerja sebagai pembantu jualan kereta di Pulau Pinang, walaupun poster telah dipasang dan harga laksa kekal RM6 sebungkus, namun seolah-olah tidak ramai nampak gerai ibunya.
Bagaimanapun, seperti yang dilakukan sebelum ini, setiap bungkus laksa dan bihun goreng yang tidak habis dijual akan disedekahkan kepada jiran atau orang lain.
Berdepan situasi seperti ini, ibunya ada meluahkan hasrat untuk menyewa premis dengan harapan lebih mudah dilihat orang ramai.
“Walaupun gerai mak tu tak tersorok sebab betul-betul tepi jalan, mungkin masih ramai yang perasan kewujudannya. Ramai pelanggan yang membeli di bazar dulu tak tahu lokasi gerai mak.
“Mak ada beritahu nak sewa kedai tapi saya sendiri tak mampu nak tampung sewa. Masih banyak modal nak digunakan untuk perkara lain.
“Tapi saya sentiasa pujuk mak dengan bagi semangat dan yakinkan dia yang laksanya memang terbaik dan ramai patut cuba. Tapi macam mana pun, harapan saya suatu hari nanti nak bagi mak sewa kedai juga,” jelasnya lagi.
Mak ada beritahu nak sewa kedai tapi saya sendiri tak mampu nak tampung sewaan untuk mak.
MUHAMMAD FIRDAUS
Sebagaimana tawaran yang pernah dibuat sebelum ini sehingga laksa ibunya tular, Daus kembali membuat dua tawaran sama kepada pelanggan di luar sana.
Jaminan pertamanya, sekiranya makanan yang dibeli pelanggan tidak kena dengan cita rasa atau ‘tekak’ mereka, dia sanggup mengembalikan wang.
Seterusnya, Daus juga turut membuat kebajikan dengan membelanja mana-mana individu seandainya tidak mampu untuk membeli laksa yang dijual ibunya.
Ibu Daus kini menjual Laksa Kedah dan bihun goreng di hadapan Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang.
“Laksa mak jual Alhamdulillah kebanyakan pelanggan cakap sedap dan tak kedekut jika dibanding dengan harga… memang mengenyangkan.
“Bagi mereka yang tak berkemampuan tapi teringin nak merasai kesedapan laksa air tangan mak, boleh saja datang ke gerai. Saya sudi belanja mereka.
“Apa-apa pun saya harap sangat lepas ni hari-hari jualan mak akan habis. Saya pun senang hati kalau dapat lihat senyuman mak daripada tengok dia bersedih,” ujar Daus yang bersungguh-sungguh ingin membantu ibunya.
Sumber: mStar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda