Figura

Didakwa guna peruntukan asnaf, Dr. Zul pertahan anak dapat biasiswa penuh tajaan zakat sambung belajar ke Jordan

BEKAS Menteri Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mempertahankan anak lelakinya daripada terus dikecam oleh sesetengah netizen mengenai isu tajaan biasiswa yang diterimanya pada Khamis.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh Dr. Zul di Twitter (X) pada Khamis, beliau menghargai jasa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah menganugerahkan biasiswa penuh kepada anaknya yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Biasiswa yang ditaja oleh Lembaga Zakat itu juga difahamkan untuk menampung kos perbelanjaan anaknya, Abdul Syakur ke Universiti Jordan.

Dr. Zulkifli bersama ahli penerima biasiswa lain ketika Majlis Pelepasan Pelajar Cemerlang Biasiswa MAIWP ke Mesir dan Jordan pada Khamis.

“Anakanda Abdul Syakur telah pun melangkah ke fasa baharu kehidupannya. Abah dan mak berbangga dengan kejayaanmu yang cemerlang dalam SPM (7A+, 1A) di Pondok Moden Al-‘Abaqirah MAIWP.

“Semoga permusafiran ilmu ke Universiti Jordan dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh, membuka 1,001 ruang untuk anakanda melangkah lebih jauh ke hadapan.

“Insya-ALLAH akan dititipkan sebuah buku khusus yang dikarang sebagai nasihat buat anakanda.

“Sekalung penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atas penganugerahan biasiswa penuh kepada beliau berdasarkan merit akademiknya dan keputusan temu duga tempoh hari.

“Semasa Majlis Pelepasan Pelajar Cemerlang MAIWP sebentar tadi, saya turut dimaklumkan oleh al-Sheikh al-Mudir, Ustaz Al-Zubair tentang perkembangan pencapaian akademik dan kokurikulum Pondok Moden al-Abaqirah.

“Sebagai pengasas Pondok Moden al-Abaqirah, saya amat berbangga dengan perkembangan para pelajar dan juga alumninya yang bertebaran di universiti awam dan luar negara.

“Insya-ALLAH daripada pondok di tengah kota batu Kuala Lumpur ini akan lahir para ulama dan umara’ yang akan mewarnai Malaysia, khususnya Wilayah-Wilayah Persekutuan pada masa hadapan. Terima kasih para pembayar zakat,” tulis Dr. Zul.

Ibu Abdul Syakur memeluknya sebelum dia terbang ke Jordan.

Namun, terdapat sesetengah warganet yang tidak berpuas hati dan dengan berita tersebut sehingga mencetuskan perdebatan hangat mengenai isu tersebut.

Salah seorang pengguna Twitter (X) menganggap perkara tersebut seakan-akan tidak adil dan membandingkan dengan golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

“Ni lagi satu orang kaya dan mampu boleh dapat biasiswa penuh daripada zakat. Zakat itu bukan untuk orang tidak mampu? Encik ini tergolong dalam kumpulan asnaf ke?,” komen @shaguramigoreng.

Bagaimanapun, Dr. Zul yang juga merupakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan kekal tenang dalam menjawab setiap persoalan dan pertikaian yang dilontarkan kepadanya.

“Saya sarankan baca terlebih dahulu sebelum marah. Ada lapan golongan asnaf. Bukan ‘tak mampu’ sahaja,” balasnya.

Walaupun sudah dijawab, namun pengguna tersebut masih tidak berpuas hati dan memberikan soalan lanjut berkenaan kategori asnaf yang disebut Dr. Zul dalam komennya.

“Saya tahu anaknya jatuh dalam kategori asnaf fisabilillah, soalan saya encik sendiri asnaf ke? Encik memang tak mampu untuk tampung kos belajar anak encik? Ikutkan memang layak pun anaknya dapat zakat tu, tapi patut ke dia ambil sebab bapanya mampu untuk tampung,” @shaguramigoreng katanya.

Tidak hanya berhenti di situ, Dr. Zul masih teguh memberikan penjelasan lanjut berkenaan status dirinya yang tidak layak menerima pencen kerana berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kurang dari 36 bulan berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

Beliau turut menyatakan bahawa kemampuan keluarga bukanlah keutamaan bagi golongan asnaf fisabilillah dan memerlukan penjelasan lanjut mengenai maksud ‘kemampuan’ yang dinyatakan oleh @shaguramigoreng.

Ekoran daripada maklum balas tersebut, pengguna itu tidak membuang masa untuk melontarkan lagi persoalan berkenaan perkara tersebut kepada Dr. Zul.

“Baik kalau macam tu, kenapa waktu saya dan orang lain jadi asnaf fisabilillah, tak layak untuk dapat zakat? Sedangkan keluarga kami bukan keluarga yang kaya. Ni dapat tahu anak encik boleh dapat biasiswa penuh dari zakat, mestilah orang marah dan persoalkan,” @shaguramigoreng membalas kembali.

Membalas kepada persoalan itu, Dr. Zul dengan terperinci menjelaskan perkara tersebut.

“Saya tidak uruskan permohonan zakat saudari, jadi saya tidak pasti.

“Saya yakin saudari maklum urusan zakat adalah di bawah kuasa negeri. Jadi, setiap negeri ada polisi berbeza. Saya hanya tahu berkenaan WP kerana MAIWP pernah di bawah tanggungjawab saya.

“Sekiranya saudari layak, sudah pasti ada keciciran di mana-mana prosesnya melibatkan hal teknikal. Itu kelemahan sistem. Saya doakan urusan saudari dipermudahkan ALLAH.

“Makluman tambahan, sebagai bekas Mufti dan bekas Menteri, saya tidak ada pencen. Mufti jawatan kontrak. Adapun Menteri perlu khidmat 36 bulan untuk ada kelayakan pencen,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, pengguna akaun @kiminoriiijuga turut mempersoalkan tentang kemampuan Dr. Zul untuk menampung kos perbelanjaan pelajaran anak lelakinya itu.

“Tak faham. Kenapa dia dapat biasiswa daripada zakat sedangkan dia anak bekas mufti. Saya sangat yakin bapanya mampu bayar kos dan sebagainya. Bukankah zakat untuk fakir miskin dan asnaf? Kenapa anak orang kaya boleh dapat? Benar-benar nak tahu,” tulisnya membalas kepada hantaran Dr. Zul.

Dr. Zul juga menjelaskan bahawa bekas mufti tiada sebarang pencen kerana ia jawatan berupa kontrak serta menjelaskan lebih lanjut tentang pembahagian jenis golongan asnaf bersama rujukan daripada laman web sah Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

“Perkara paling penting yang ramai perlu tahu adalah ada lapan pembahagian asnaf. Asnaf bukan hanya fakir miskin. Tidak tepat ‘fakir miskin dan asnaf’. Pelajar termasuk di bawah asnaf fisabilillah. Baca di sini https://www.zakat.com.my/info-zakat/golongan-penerima-zakat/,” balasnya.

Sementara itu, berikut merupakan antara lapan golongan asnaf yang diperkatakan oleh Dr. Zul berkenaan isu tersebut.

1. Fakir

Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

2. Miskin

Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

3. Amil

Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.

Mualaf juga tergolong dalam golongan asnaf yang dinyatakan oleh Dr. Zulkifli. — Gambar hiasan

4. Mualaf

Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya) ianya dibahagi kepada dua iaitu:

a) Beragama Islam

– Baru memeluk agama Islam

– Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.

– Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang- orang di bawah pimpinannya.

– Orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh.

b) Bukan beragama Islam

– Boleh dipujuk supaya masuk Islam.

– Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam.

5. Al-Riqab

Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

6. Al-Gharimin

Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.

7. Fisabilillah

Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

8. Ibnu Sabil

Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan. — Majoriti

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button