“Umur Pun Dah Lebih 40 Tahun, Jadi Bukan Lagi Untuk Kemasyhuran Tapi…,” – Vokalis Saujana Dr Idzu Baharin
Pernah mencipta fenomena menerusi lagu Sepohon Kayu bersama kumpulan nasyid Saujana lebih 25 tahun lalu, tidak dinafikan lagu berkenaan masih menjadi siulan hingga ke hari ini.
Berjaya mengumpul kelompok peminat tersendiri, vokalisnya, Idzu atau Khairul Idzwan Baharin mengambil keputusan untuk ‘berehat’ dari industri muzik dan memberi fokus kepada kerjaya baharu sebagai doktor perubatan di sebuah hospital.
Terbaharu, Dr Idzu Baharin, 41, kembali menerusi single Ku Serah hasil ciptaannya bersama Ahmad Jeffny yang juga lagu berkonsepkan ketuhanan dengan sedikit eleman R&B terbitan Kharisma Music.
Menurut Idzu Baharin, minat dan cintanya terhadap bidang nyanyian tidak pernah padam. Malah, kerjaya yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu dilihat masih relevan seiring dengan empayar perniagaannya, Cell Tissue Technology Sdn Bhd.
“Boleh katakan sibuk dengan kerja sampailah saya masuk ke dalam bisnes pula. Minat dalam nyanyian itu masih lagi ada cuma aktif macam zaman dulu dah tak ada dah. Tetapi sekarang sejak saya pun dah aktif dalam bisnes, masa itu ada. Jadi bolehlah saya aktif semula dunia nyanyian.
“Masih lagi ada yang ingat dan tanya bila nak keluar single dan album baru serta bila nak buat ‘comeback’. Bagi saya ini adalah hobi yang serius juga. Ia bukanlah kerjaya utama tapi hobi yang serius dan saya suka untuk buat.
“Perkara ini boleh berlaku serentak. Disebabkan itu saya keluar dengan single terbaru selepas 16 tahun. Ia adalah lagu ketuhanan tapi tak ada ‘hardcore’ nasyid sangat. Lebih kepada santai dan masih pop dengan elemen R&B sikit. Cuma ia bukanlah nasyid.
“Sebelum ini pun saya ada keluarkan beberapa single juga. Cuma tak ada syarikat di belakang saya. Ia lebih kepada nak berseronok saja dalam fasa yang begitu sibuk pada waktu itu. Sekarang dah ada pengurusan saya sendiri dan Universal Music Malaysia pun dah ambil hak pengedar.
“Saya pun dah ada produksi dengan Kharisma Music yang jaga dari segi muzikal dan produksi. Kiranya ia akan lebih teratur selepas ini,” katanya.
Menurut Idzu Baharin, kemunculannya dengan kembali aktif tidak hanya untuk mengejar kemasyhuran semata-mata, tapi ingin berkongsi karya kepada peminat yang setia bersama dirinya dan Saujana termasuk generasi baru yang mula mengenali mereka.
“Umur saya pun dan lebih 40 tahun. Jadi, bukan lagi untuk kemasyhuran tetapi lebih untuk berkongsi karya dan berjumpa dengan peminat baru yang kenal saya menerusi media sosial. Waktu itu mungkin mereka belum lahir atau masih kecil. Jadi mereka belum kenal sangat saya.
“Bila saya muncul di media sosial mereka berminat untuk lebih mengenali saya. Lagu-lagu masih lagi popular dan mereka pun diajar dengan lagu-lagu kami semasa di sekolah. Mereka rasa dekat tapi tak pasti siapa orang di sebaliknya.
“Ini adalah kelompok peminat baru yang saya mula nak kenal sejak aktif dalam media sosial,” katanyq yang baru saja selesai rakaman video muzik Sepohon Kayu (remake) bersempena ulang tahun Saujana yang ke-25 tahun.
Sementara itu, Idzu Baharin berkata penghasilan lagu Ku Serah lebih kepada mahu mengajak peminat mengimbau kembali perjalanannya sebagai anak seni ketika mula bersama Saujana.
“Lagu ini sebenarnya macam ‘ad-hoc’ saja. Kebetulan saya baru meraikan hari jadi, saya rasa macam lebih matang sekarang. Kematangan itu membuatkan saya rasa macam nak selesaikan beberapa perkara. Bila dah semakin berumur ini sudah tentu perasaan itu lebih kepada nak memperbaiki diri.
“Saya lebih nak memberi motivasi kepada pendengar. Saya selitkan mesej positif daripada ‘cintan-cintun’ ini. Tapi cinta itu juga bersifat universal bukan hanya antara lelaki dan perempuan tapi antara kita dengan cita-cita atau kehidupan kita.
“Lagu Ku Serah kali ini lebih kepada pengikut yang lama dan kenal saya sejak pertama kali keluar bersama Saujana. Mereka rindukan sesuatu yang baru tapi tak nak ia lari daripada diri saya yang dulu.
“Saya rasa genre ketuhanan ini sesuai untuk mereka mengimbau balik kenangan lama sebab ramai yang datang balik pada saya dan cakap mereka membesar dengan lagu-lagu Saujana. Suara saya agak signifikanlah untuk kenangan masa kecil mereka,” katanya.
Ditanya mengenai pendekatan kontroversi dan gimik demi memperkenalkan karya seni, Idzu Baharin tidak melihat ia sesuatu yang negatif.
“Ada antara selebriti, pempengaruh dan sebagainya memilih jalan singkat untuk buat ‘viral marketing’ untuk menaikkan diri dan produk dengan cara itu. Saya rasa itu antara satu evolusi cara orang sekarang buat. Dulu kita tak ada macam tu, kita hanya ada yang standard saja daripada media.
“Saya tak melihat perkara itu sebagai satu perkara yang negatif, cumanya cara pemahaman orang yang kadang-kadang kita kena pandai kawal. Selagi dia tak melampau dan melanggar batas kita dari segi agama, perkauman atau politik saya rasa ia bagus. Asalkan jangan mencarut dan menyentuh sensitiviti masyarakat. Saya rasa selagi perkara itu masih lagi terkawal saya menerima idea tular.
“Saya pun kalau ada situasi yang tiba-tiba menyebabkan tular saya redah saja. Sebab kita memang diajar untuk bersedia dalam semua keadaan. Saya tak nampak ia sebagai suatu perkara yang negatif, ia adalah satu seni dalam perniagaan dan kena sentiasa berfikiran terbuka kepadanya. Kita kena tengok dari sudut pandang yang positif,” katanya.
Sumber: MH
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.