Viral

Bisnes mengait diperlekeh, dianggap tiada untung… Rupanya orang Sepanyol, Texas pun beli! Mampu jana RM10k sebulan

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah gambaran kisah peniaga beg kait, Norazura Basir apabila tas tangan yang dihasilkannya turut mendapat permintaan tinggi dari luar negara termasuk Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Malah katanya, tempahan sentiasa diperoleh dari Brunei dan Singapura yang mengikuti hasil kraftangannya di media sosial.

Paling tidak disangka, karya kreatif itu bukan dihasilkan oleh graduan fesyen sebaliknya pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Berkongsi tentang permulaan perniagaan, wanita berusia 43 tahun itu berkata, dia sememangnya meminati aktiviti mengait sejak kecil dan mula mempelajari teknik asas berkaitan seawal usia sembilan tahun.

Antara rekaan beg kait hasil tangan Norazura.

Malah pada masa itu, dia sudah mampu menghasilkan alas meja serta televisyen dan beberapa koleksi lagi.

“Pada tahun 2010, dek kerana sukar mendapat pekerjaan selepas berhenti kerja sebagai DJ radio di sebuah stesen radio negeri, saya mengambil keputusan untuk memulakan bisnes mengait dengan menjual kopiah kait dan set barangan bayi.

“Tapi keutamaan kepada kopiah kait dan ia hanya sekadar mengisi masa lapang kerana tak bekerja. Selepas melalui perceraian pada tahun 2015, saya mula serius dalam bisnes menjual kopiah kait demi mencari sumber pendapatan untuk membesarkan anak yang ketika itu berusia satu tahun.

“Tahun 2017, barulah saya mula buat bag dan beralih sepenuhnya kepada bag kait pada tahun 2018 sehingga sekarang,” ujar anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu lagi.

Tambahnya, tempahan bermula selepas dia sering memuatnaik hasil kraf yang dilakukan di Facebook dan Instagram sebelum berkembang di TikTok pada penghujung 2021.

Perbualan tempahan Norazura dengan pelanggannya dari Texas yang turut menggayakan beg kait buatannya.

Mengakui cerewet tentang kekemasan, ia antara pendorong hasil kerja tangan yang dilakukan itu disukai ramai.

Malah anak ketiga daripada empat beradik ini sanggup membuka semula beg yang hampir siap selepas mendapati terdapat kesilapan walaupun hanya kecil.

Bagi memastikan produk yang dihasilkan sentiasa mengikut trend dan perkembangan terkini, dia akan meluangkan masa bagi meneroka ilmu-ilmu baharu berkaitan seni kait.

Tempahan luar

Mengulas tentang tempahan dari negara luar, ujar Norazura dia terkejut semasa pertama kali menerima mesej dari Malaga, Sepanyol melalui platform Instagram.

“Saya selalu upload gambar hasil bag buatan saya di media sosial dan letakkan hashtag berkaitan crochet. Daripada situ akan dapat view dari luar negara.

“Mungkin masa tu, berjaya menarik minat pelanggan terbabit untuk menghubungi saya,” ujarnya.

Malah katanya, sukar untuk mempercayai mesej sedemikian berikutan terdapat banyak kes berkaitan penipuan atas talian yang mengakibatkan mangsa kerugian ribuan ringgit.

Namun, selepas beberapa perbincangan dilakukan sehingga akhirnya bayaran dibuat oleh pihak pembeli, barulah berasa lega.

Saya pernah lalui kesukaran, tiada sokongan orang terdekat… malah usaha saya diperlekehkan.

NORAZURA BASIR

PENIAGA BEG KAIT

“Dia mengaku tertarik dengan hasil kerja tangan saya yang kemas jika dibandingkan hasil kerja dari akaun Instagram lain.

“Paling saya tidak sangka adalah dia membuat belian tambahan selepas menerima beg yang ditempah… katanya untuk dihadiahkan kepada sepupu,” kongsinya.

Lebih menggembirakan apabila tidak lama selepas itu, beg buatannya dilamar pelanggan dari Texas, Amerika Syarikat, juga melalui platform Instagram.

Tambahnya, sejak memuatnaik video berkaitan tempahan dari luar negara di aplikasi TikTok, rezekinya bertambah luas.

Cabaran yang dilalui

Seperti peniaga lain yang menawarkan hasil kreatif sendiri sebagai jualan, Norazura juga tidak terkecuali berhadapan dengan cabaran dan kesukaran.

“Saya pernah lalui kesukaran ketika memulakan bisnes mengait ni dulu… dengan tiada sokongan orang terdekat malah diperlekehkan pula usaha. Ada yang kata saya buat kerja (mengait) tidak berfaedah.

Antara koleksi beg tangan yang dihasilkan Norazura.

“Tapi kesukaran hidup buat saya nekad dan Alhamdulillah sekarang saya berjaya buktikan kepada mereka yang pernah menghina saya dengan pencapaian bisnes ini,” katanya sambil menambah beg yang dihasilkan pernah digayakan oleh artis seperti Liza Hanim.

Sehubungan itu, dia turut menggalakkan kaum wanita yang pernah alami kegagalan mahupun suri rumah yang ingin menjana ekonomi keluarga untuk bangkit dan mulakan bisnes bersandarkan hobi atau minat seterusnya berusaha hingga berjaya.

Tambahnya, anggaran pendapatan kasar yang diperoleh juga hampir mencecah belasan ribu ringgit.

“Sehari saya dapat hasilkan dua hingga tiga buah beg kait. Purata bagi setiap satu beg adalah RM150.

“Bayangkan kalau dalam tempoh 20 hari ‘bekerja’, pendapatan saya boleh mencecah sehingga RM10,000,” ceritanya lanjut.

Sumber: mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button