Hiburan

Minta maaf, Kak Gee tak kenal sangat artis sekarang – Fauziah Latiff

PETALING JAYA – Penyanyi berpengalaman, Fauziah Latiff menasihatkan anak seni zaman sekarang supaya sentiasa merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata sekiranya ingin kekal lama dalam industri.

Fauziah atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff berkata, populariti yang mudah diraih sekarang perlu berjalan seiring dengan bakat seni dipaparkan kepada khalayak.

“Minta maaf, Kak Gee tak kenal sangat artis sekarang tapi saya akui, ada betul-betul berbakat dan terkenal di YouTube, TikTok dan Instagram.

“Kalau dah terkenal, satu peluang untuk bakat mereka lebih diperakui. Kelebihan zaman sekarang, senang nak kumpul peminat.

“Zaman saya dahulu sangat berbeza. Kita semua bermula daripada ‘zero’. Buat saya secara peribadi, mereka yang lebih senior, sampai sekarang dan sampai bila-bila, saya akan tetap respek mereka.

“Sebab apa, sebab pengalaman yang mereka ada. Memang tak boleh cabar pengalaman. Tak boleh, tak kisah macam mana sekalipun,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu lagu, pendekatan orang lama dalam industri yang lebih bersifat ‘oldschool’ juga mempunyai kelebihan tersendiri.

“Dahulu atau sekarang, bagus kalau boleh seimbangkan antara kedua-duanya (dari segi pendekatan) untuk kekal relevan dalam industri.

“Tak kisahlah moden macam mana pun, kalau ada sedikit nilai atau pendekatan ‘oldschool’, seseorang anak seni itu boleh terus pergi jauh.

“Zaman sekarang, orang tak boleh hidup dengan gajet. Bayangkan zaman kami (orang lama) dahulu. Nak telefon orang pun dahulu, pergi cari telefon awam.

“Sungguhpun begitu, saya juga sangat menghormati artis-artis baharu sekarang. Cuma saya harus akui, orang lama kalau buat persembahan pentas, kita bagi 100 peratus komitmen dan saya harap yang sama daripada generasi sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button