Hiburan

Arja Lee kini pensyarah universiti, lebih tenang menetap di Kelantan dan sudah tak minat dunia glamor

SEJAK bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tahun lalu, pelakon Arja Lee mengambil keputusan meninggalkan bidang seni bagi membolehkan dia memberi tumpuan kepada karier baharunya itu.

Arja atau Azharudin Ramli, 39, berkata, dia tidak mahu lagi terbabit dalam dunia glamour sebagai seorang selebriti dan lebih tenang menjalani kehidupan tanpa sebarang kontroversi di Kelantan.

“Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan saya sekarang… ada pekerjaan tetap dan paling penting ada pendapatan bulanan yang tak perlu saya risau setiap bulan.

“Dekat sini saya mahu menjalani hidup tenang dan bebas daripada sebarang kontroversi sebagai seorang selebriti.

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan tinggalkan bidang seni buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang turut memerlukan komitmen tinggi,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Arja berkata, dia semakin seronok dan selesa menetap di Kelantan memandangkan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur.

Kehidupannya bukan sahaja lebih sederhana tetapi tenang tanpa sebarang gangguan selain tidak lagi memikirkan kehidupan ‘glamour’ sebelum ini.

“Kos sara hidup di Kelantan lebih rendah dan saya tidak lagi perlu memikirkan hal-hal berkaitan dunia hiburan. Fokus saya sekarang adalah terhadap pekerjaan sebagai pensyarah dan mendidik anak bangsa,” jelasnya.

Sementara itu, Arja berkata, bekerja sebagai pensyarah bukan kebetulan tetapi sejak dahulu lagi dia memang menyimpan impian untuk bergelar seorang pendidik.

Kata Arja, dia bersyukur impian melanjutkan pengajian seterusnya diterima sebagai pensyarah terlaksana dan akan menggunakan ilmu dan pengalaman sebagai pelakon sebelum ini untuk dicurahkan kepada pelajar di universiti.

Dalam perkembangan lain, Arja memberitahu bakal menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tidak lama lagi.

Pelakon filem Anu Dalam Botol itu juga baharu sahaja menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Arja Lee Gugup Naik Pentas Konvokesyen, Syukur Keluarga Datang Tiup Semangat

Pelakon Arja Lee meluahkan rasa syukur apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam sebuah Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah, pada Sabtu.

Arja atau nama sebenar Azharudin Ramli, 39, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).

Menerusi muat naik di Instagram, Arja berkata perasaannya begitu berdebar saat nama dipanggil ke pentas bagi mengambil Ijazahnya.

“Debarnya sungguh berbeza kali ini! Tak dapat saya gambarkan perasaan dan apa yang bermain di fikiran saya pada waktu ini, teramat berbeza!

“Tatkala nama saya disebut sehinggalah terdengar jeritan penuh kasih sayang daripada keluarga tercinta di depan mata menjadi penawar dikala gugup setelah menerima ijazah di atas pentas.

“Ya aku kini bergelar Graduan Ijazah Sarjana, Alhamdulillah officially graduated,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arja turut berkongsi beberapa foto dan video yang memperlihatkan dirinya sedang mengenakan jubah konvokesyen berwarna biru gelap sambil memegang ijazah buat tontonan umum.

Sementara itu, memetik Harian Metro, Arja berkata, kejayaan yang dikecapi ini adalah bagi menunaikan impian dan hadiah kedua arwah ibu bapanya, Allahyarham Ramli Uteh dan Allahyarham Salmah Aziz.

Dalam masa sama, dirinya mengaku berbaloi di atas usaha kerasnya selama dua tahun pengajian selain berharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Saya gembira pengorbanan dua tahun menyambung pengajian berbaloi walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara serta pensyarah tahun pertama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bahru, Kelantan.

“Kejayaan saya memberi mesej yang jelas bahawa selebriti sebenarnya mampu berjaya dalam pendidikan dan boleh menjadi contoh masyarakat,” katanya.

Sumber: mStar, Gempak

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button