Viral

“Balik la along, jangan sampai kau menyesal” – Adik jejak abang kandung 20 tahun bawa diri, ibu hilang sebelah kaki derita merindu

“SUSAH nak maafkan diri sendiri dengan apa yang terjadi dekat mak. Along… semoga terbuka hati untuk balik.”

Demikian luahan hati Muhammad Shafiq Ruzalli yang tanpa putus asa cuba menjejaki abang sulungnya menerusi media sosial hingga mengundang sebak ramai di media sosial.

Bercerita kepada mStar, lelaki yang senang disapa Afiq, 30, ini berkata abang sulungnya mula memutuskan hubungan dengan keluarga 2002.

“Dia anak sulung yang tak balik rumah sampai sekarang… dah masuk 20 tahun.Dia tak balik atas dasar tak nak menyusahkan mak dengan ayah.

“Sebabnya along ni anak yang agak ‘nakal’. Banyak kali kena tangkap dengan polis dan dimasukkan ke penjara.

“Duit ayah banyak dihabiskan untuk jamin dia saja. Jadi dia buat keputusan masa kena tangkap polis tu untuk dipenjarakan saja,” ujarnya yang enggan berkongsi lanjut tentang kes abangnya itu.

Tambah bapa kepada dua orang cahaya mata itu lagi, abang kandungnya mula membawa diri dan tidak pulang ke rumah setelah keluar dari penjara pada 2002.

Kata Afiq yang merupakan anak ke enam dari tujuh beradik, keputusan abangnya itu dibuat sendiri atas alasan tidak mahu membebankan kedua-dua mereka lagi.

Bagaimanapun tindakan tersebut membuatkan ibu mereka terus bersedih menanggung rindu.

“Kami tak dapat nak hubungi dia sebab tak ada nombor telefon. Akaun media sosial dia pun kami tak pernah jumpa sampailah sekarang.

“Walaupun dah 20 tahun tak pernah tanya khabar, tapi kawan-kawan dia ada juga beritahu kerap ternampak dia cuma tak tahu dia tinggal di mana.

Afiq bersama ibunya.

“Mak terlalu rindu dekat abang sampai kerap jatuh sakit. Keadaan mak sekarang cuma hanya terbaring dan berat badan turun dengan mendadak,” katanya.

Lebih menyayat hati apabila Afiq turut memberitahu bahawa ibunya terpaksa melakukan pembedahan membuang sebahagian daripada kaki akibat diabetes.

Walaupun pada mulanya si ibu enggan berjumpa doktor, namun keadaan kaki yang semakin parah sehingga berbau membuatkan mereka terpaksa menghantarnya bagi mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Hidup along akan jadi lebih bahagia lepas jumpa mak, selagi mana along tinggalkan mak, selagi tu tak bahagia long.

NETIZEN

“Mak ada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan darah tinggi. Pada satu hari tu kaki kanan mak tiba-tiba jadi bengkak. Mak cuma sapu krim dan makan ubat saja sebab bukan luka cuma jadi kemerah-merahan.

“Lama-kelamaan jadi bernanah dan merebak dengan cepat sampai berbau bahagian luka yang berlubang tu. Doktor beritahu yang kuman sudah mula merebak dengan teruk dan kena potong kaki mak sampai paras bawah lutut.

“Jadinya kaki kanan mak terpaksa dipotong masa bulan Ramadan lalu. Sebelum ni kalau mak ada luka apa-apa tak kira dekat tangan atau kaki, cepat saja sembuh. Kali ini Allah dah takdirkan kena potong. Kami sekeluarga reda,” kata Afiq.

Afiq (baris depan, kanan) bersama ahli keluarganya.

Sehingga kini video yang dimuat naik di TikTok sudah meraih lebih 1.2 juta jumlah tontonan dan rata-rata netizen turut tersentuh dengan perkongsiannya itu.

Afiq yang tinggal di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor menjelaskan bahawa video tersebut bertujuan supaya abangnya menonton semua hantaran ini dan terbuka hati untuk pulang menemui ibu mereka yang sedang menanggung rindu.

Ujar Afiq lagi, tahap kesihatan ibu yang semakin merosot membuatkan dia semakin rasa terkilan mengenangkan abangnya yang belum pulang menziarahi ibu mereka.

Afiq merupakan bapa kepada dua orang cahaya mata.

“Inilah saat kami adik-beradik berebut nak jaga mak sebab itu saja jalan pintu ke syurga yang kami ada. Selagi ada kudrat selagi tu kami jaga mak.

“Saya berharap dengan video tu boleh membuatkan along terbuka hati untuk balik. Saya banyak update video tentang kesihatan mak dekat TikTok pun bukan nak raih simpati tapi supaya dia tengok dan tahu situasi mak macam mana sekarang,” luah Afiq.

Sementara itu netizen turut sama menyeru dan berdoa agar abang sulung kepada Afiq terbuka hati untuk pulang bertemu ibunya selagi belum terlambat.

“Anak sulung memang banyak makan hati. Tapi 20 tahun tak balik tu keras hati namanya.

“Aku yang ‘along’ ni tahu kerasnya hati anak sulung macam mana. Dia banyak makan hati tapi diam. Along , balik long. Jangan sampai kau menyesal.

“Along. Please balik long. Hidup along nanti akan jadi lebih bahagia lepas jumpa mak along. Selagi mana along tinggalkan mak, selagi tu tak bahagia long,” tulis beberapa netizen.

Sumber: mStar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button