Viral

Malu mak kirim agar-agar santan, murid sorok sebelah tong air! Mujur cikgu perasan, terus buka makan ramai-ramai

JAMUAN akhir tahun persekolahan pastinya menggembirakan pelajar sekolah kerana pelbagai juadah dan kuih muih dapat dinikmati.

Untuk menjayakannya, ibu bapa menjadi orang belakang tabir yang sibuk sehingga ada yang sanggup mengorbankan masa untuk menyediakan hidangan terbaik yang boleh dibawa anak masing-masing.

Seperti video tular, sebekas kuih agar-agar santan dibawa ke jamuan akhir tahun di sebuah sekolah.

Bagaimanapun, bekas kuih tersebut tidak dibuka dan dijamah oleh mana-mana murid di dalam kelas berkenaan sehingga ke akhir majlis.

Cikgu Faizal bersama anak muridnya semasa jamuan akhir tahun pada Khamis.

Menyedari perkara tersebut, pemilik akaun TikTok @azfaizalaziz yang juga guru di kelas berkenaan mengambil inisiatif dengan membuka bekas kuih tersebut dan menjamahnya di hadapan murid-murid.

“Tengok ni, saya jumpa kuih ni… murid saya sembunyi malu nak bawa keluar. Saya ambil, mari kita tengok apa yang best pada kuih ni.

“Penat mak dia buat tapi tak nak bagi cikgu rasa. Sedap, dahlah sejuk… cikgu suka, cikgu suka okay,” ujarnya sambil menjamah beberapa potongan kuih tersebut.

Bukan itu sahaja, dia yang dikenali sebagai Cikgu Faizal turut memanggil murid-murid lain di kelas berkenaan untuk menikmatinya bersama.

Malah dia meyakinkan anak muridnya bahawa kuih tersebut sedap dan patut dicuba oleh mereka.

“Marilah rasa, ambil satu… kena rasa,” tambahnya yang turut membawa bekas kuih berkenaan kepada setiap murid untuk dimakan.

Menerusi ruangan kapsyen, dia beranggapan murid yang membawa kuih tersebut seolah-olah malu untuk menghidangkannya kerana juadah itu tidak mewah seperti yang dibawa rakan sekelas yang lain.

“Terasa dalam lubuk hati, murid susah ke, murid senang ke, kaya dan miskin tu hanya atas dunia je. Cikgu layan sama rata je dik,” luahnya berserta emoji menangis.

Walau macam mana kuih tu saya akan review dan puji supaya murid rasa dirinya ada nilai.

CIKGU FAIZAL

Berkongsi cerita dengan mStar, Cikgu Faizal atau nama lengkapnya Azfaizal Abd Aziz berkata, dia merupakan guru kelas berkenaan dan jamuan tersebut diadakan pada Khamis baru-baru ini iaitu hari terakhir sesi persekolahan 2023.

Dia yang rapat dengan murid-murid sering diminta untuk membuat reviu makanan dan memuat naik ke TikTok.

“Mak-mak masak, mereka akan suruh review dan masuk dalam TikTok… saya buat review macam biasa supaya budak hargai masakan ibu mereka. Budak-budak ni rasa suka apabila cikgu yang disayangi makan dan memuji hidangan yang dia bawa.

“Agar-agar tu saya sedar selepas nak kemaskan meja jamuan… saya bangun dan tengok ada plastik dekat dengan tong air, di dalamnya ada kuih. Apabila ditanya semua tidak mengaku dan mungkin pemiliknya pun berasa malu.

“Lagipun budak tak berapa minat kuih tradisional ataupun mungkin dia segan sebab kawan-kawan lain bawa kek mewah dan burger,” ujarnya yang berpengalaman selama 14 tahun mengajar di sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan.

Cikgu Faizal bersama salah seorang muridnya.

Dia yang telah membuat ulasan kesemua hidangan dalam jamuan tersebut turut melakukan perkara sama pada kuih agar-agar tersebut.

Bagi guru berusia 48 tahun ini, setiap usaha yang dilakukan perlu dihargai sekali gus menaikkan semangat murid terbabit.

“Walau macam mana kuih tu saya akan review dan puji supaya murid rasa dirinya ada nilai, sebab itu lepas makan saya bagi pada yang lain supaya mereka turut menghargai mak kawan-kawannya,” katanya yang turut menyumbang beberapa menu utama.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan pemilik kuih tersebut tidak mengaku sehinggalah jamuan makan berakhir.

Rata-rata warga maya memuji sikap Cikgu Faizal.

Video perkongsiannya itu mendapat perhatian warga maya sehingga tular dan ditonton lebih 2.4 juta pelayar TikTok.

Rata-ratanya memberikan pelbagai reaksi dan meluahkan rasa sedih kerana murid tersebut enggan mengaku hasil titik peluh ibu sendiri.

Ruangan komennya juga menjadi medan luahan perasaan beberapa pelayar yang pernah berhadapan situasi menyedihkan semasa jamuan akhir tahun.

Malah ramai yang berkongsikan pengalaman makanan dibawa tidak dijamah rakan sekelas kerana dianggap murah dan biasa berbanding hidangan lain.

Sumber:mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button