Viral

Lelaki Amerika bahagia hidup di Kelantan, makin cekap gulung kain pelikat… Paling nikmat nasi kerabu air tangan mentua!

BENARLAH kata hikmat iaitu jodoh tidak mengenal latar belakang dan boleh disatukan dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Merentasi lautan Hindi dan Atlantik, jejaka yang berasal daripada Florida, Amerika Syarikat ini mengikat tali perkahwinan bersama wanita tempatan di Kota Bharu, Kelantan.

Begitulah kisahnya untuk Yusef Stuart, 38, dan isterinya, Asmaa Hussin yang bahagia melayari bahtera rumah tangga selama hampir 12 tahun.

Menyeberangi separuh benua, Yusef atau nama asalnya Joshua James Stuart berkata dia merantau ke Malaysia kerana mahu mengenali Islam dengan lebih dekat setelah bergelar mualaf di tanah airnya.

“Di Amerika Syarikat, saya tidak ada keluarga dan kawan yang boleh mengajar saya tentang Islam. Jadi saya datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu di sebuah pondok (pusat pengajian Islam).

“Di sini mereka mengajar saya untuk bertutur dalam Bahasa Melayu, mengajar saya tentang Islam serta cara untuk membaca dan menulis jawi.

“Pondok itu banyak menempatkan mualaf seperti saya, mereka ini berasal daripada Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Kami bersama-sama belajar tentang perkara asas mengenai Islam,” ujar Yusef ketika dihubungi mStar.

Menceritakan semula bagaimana perasaan dan hatinya boleh bertaut dengan wanita Kelantan, Yusef berkata ia berlaku secara spontan ketika dia sedang mencari rumah sewa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Saya tidak hanya duduk setempat dan banyak bergerak juga. Saya ada pergi ke Melaka dan selepas itu ke Kelantan. Di Kelantan, saya mencari tempat tinggal untuk saya berteduh.

Yusef mencuba nasi kandar yang menjadi ‘kegilaan’ masyarakat tempatan.

“Di situlah saya ditemukan dengan isteri saya, dia ada mengusahakan homestay, saya nampak dia punya inap desa melalui satu website. Isteri saya yang buat sendiri website tu, zaman tu tak ada platform sewa rumah lagi.

“Apabila saya sedang berurusan untuk rumah sewa tu, saya ditemukan dengan abah dia, kemudian saya dan isteri pun terus berkenalan. Tak lama selepas itu kami pun berkahwin, singkat saja proses kami membuka hati antara satu sama lain.

“Alhamdulillah saya diterima dengan baik oleh ahli keluarganya dan penduduk setempat, walaupun saya seorang mat salih tapi kehadiran saya dialu-alukan dan tidak dirasakan seperti orang asing,” kata Yusef bersyukur.

Saya sangat suka pakai kain pelikat sebab rasa sejuk dan berangin, sesuai dengan cuaca panas di Malaysia.

YUSEF STUART

Berbicara soal kehidupan di tanah airnya, Yusef mengatakan ibu bapanya masih ada bersamanya dan dia juga mempunyai seorang adik.

“Selama saya tinggal di Malaysia ini, sudah dua kali keluarga datang lawat saya, pertama kali tiga tahun lalu dan yang terbaharu tiga bulan lepas.

“Tidak dapat disangkal, rasa rindu kepada mereka mesti ada, tetapi syukur zaman kita sekarang ada teknologi video call. Saya boleh selalu keep in touch dengan mereka.

“Kalau nak mengharapkan kepada surat-menyurat je mesti memakan masa yang lama dan rindu saya pun tak akan terubat,” ujar Yusef.

Yusef bersama anak lelakinya yang baru memasuki alam persekolahan.

Fasih berdialek Kelantan, Yusef dan isterinya kini dikurniakan dua cahaya mata iaitu seorang anak lelaki, Daniel Orhan Stuart, 6, dan seorang anak perempuan, Hana Sophia Stuart yang berumur sembilan bulan.

“Nama anak lelaki saya itu merupakan nama dari Turkiye sebab saya dengan isteri pernah duduk di sana selama dua tahun sewaktu saya berkhidmat di sebuah universiti di sana.

“Profesion saya adalah sebagai seorang editor dan proofreader bahasa Inggeris. Itu dulu, kini saya bekerja secara freelance.

“Saya mempunyai website sendiri iaitu proofread.my. Itu isteri saya sendiri yang setup dan uruskan, saya cuma ambil client sahaja.

“Di samping itu, isteri saya ada berniaga kain pelikat. Saya support, saya sangat suka pakai kain pelikat sebab rasa sejuk dan berangin, sesuai dengan cuaca panas di Malaysia,” kata Yusef.

Yusef dan isteri bersama anak-anak sedang bercuti di sekitar Kelantan.

Menetap di negeri dengan jolokan Serambi Mekah selama hampir lebih dari sedekad, Yusef berkata lidahnya sudah dapat membiasakan diri dengan juadah cita rasa Pantai Timur.

“Semua makanan saya dah boleh makan sekarang. Antara kesukaan saya adalah budu, kangkung, nasi goreng biasa dan yang paling best, tomyam ala Kelantan, parent saya pun suka apabila datang makan di sini.

“Tidak lupa juga nasi kerabu, sebab ibu mentua saya boleh masak nasi kerabu yang paling sedap di atas muka bumi ini. Ada juga ulam-ulaman sebab keluarga orang rumah saya suka bercucuk tanam.

“Paling menjadi kemestian untuk saya ialah keropok lekor, anak lelaki saya Daniel Orhan pun memang sangat meminati makanan ini.

“Kalau rindu makanan negara saya, itu tak jadi masalah sebab dekat Kelantan sudah ada banyak makanan Western,” kata Yusef.

Yusef bersama anak perempuannya yang baru berusia 9 bulan.

Yusef juga menzahirkan rasa kagum dengan sambutan meriah di sekitar Kelantan setibanya Ramadan dan Aidilfitri.

“Seluruh keluarga belah isteri saya akan pulang ke kampung halaman. Rumah kami akan jadi meriah dan kasih sayang antara ahli keluarga itu dapat dirasai.

“Ibu mentua dan adik-beradik isteri juga sangat cekap ‘bersilat’ di dapur memasak, ayam percik, ikan goreng dan nasi kerabu semua siap di pagi Syawal.

“Saya rasa diri saya adalah sebahagian dari keluarga besar ini, saya tidak disisihkan, felt like home,” ujar Yusef menutup bicara.

Sumber : mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button