Viral

25 tahun dulu peguam pernah bantu kes ibu curi bekas pensel, terkedu dapat tahu siapa anaknya kini – “Mak saya suruh cari tuan”

“HUTANG emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.”

Peribahasa ini amat sesuai dengan kisah peguam, Ahmad Zaharil Muhaiyar yang tiba-tiba disapa oleh seorang anak muda tidak dikenali di mahkamah.

Hanya dengan ungkapan ‘kes bekas pensel’ peguam ini menyedari bahawa pemuda berusia awal 30-an itu adalah anak kepada wanita yang pernah dibantu, 25 tahun lalu.

Apa yang mengejutkannya adalah, pemuda tersebut turut bergelar peguam dan telah berusaha mencarinya selepas diminta oleh si ibu.

“Apa khabar tuan. Tuan mungkin tak kenal saya, tapi saya adalah anak kepada tukang cuci yang tuan bantu 20 tahun lalu. Ingat tak ‘bekas pensel’?

“Ibu saya nampak tuan dalam TV berhubung kes yang tuan kendalikan dan beritahu saya siapa diri tuan.

“Saya mencari tuan dan sangat gembira akhirnya bertemu. Saya seorang peguam sekarang, tuan,” kata lelaki muda itu.

Ahmad Zaharil berkata, matanya terus berkaca dan berasa sangat terharu lantas mereka berdua berpelukan.

Mengimbau kisah yang berlaku pada tahun 1998 itu, Ahmad Zaharil berkata, dia mengenali ibu pemuda tersebut semasa sedang menunggu di kamar mahkamah selepas menguruskan kes.

“Saya bersendirian masa tu dan ternampak seorang wanita India berusia 50 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci digari bersama polis.

“Keadaannya itu membuatkan saya menghampiri dan bertanyakan punca ditangkap… rupanya dia mencuri bekas pensil dari pasar raya untuk dihadiahkan kepada anak lelaki berusia 10 tahun,” katanya memetik laporan The Star.

Wanita tersebut merupakan seorang tukang cuci. -Gambar hiasan The Star/Ronnie Chin

Lebih menyayat hati, bekas pensil tersebut dicuri untuk dihadiahkan kepada anak tunggalnya selepas berjaya menjadi pelajar terbaik dalam kelas.

Bagaimanapun, ibunya tidak mempunyai duit yang mencukupi sehingga terpaksa mencuri bekas pensil yang berharga RM18.

Selepas meneliti situasi dan keadaan kewangan wanita terbabit, dia meminta penangguhan daripada hakim.

Ahmad Zaharil terus ke sekolah kanak-kanak lelaki tersebut di Sentul, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat serta pengesahan.

“Selepas bercakap dengan guru besarnya, memang betul anak wanita ini merupakan pelajar pintar dan terbaik dalam kelas,” katanya.

Tanpa berlengah, dia kembali semula ke mahkamah dan bertemu dengan pemilik pasar raya.

“Saya tawarkan bayaran balik dua kali ganda daripada harga bekas pensil tu, tapi dia tetap tak mahu tarik balik dakwaan.

“Berdasarkan keterangan guru dan semasa menimbang kes, majistret membebaskan ibu itu dengan syarat berkelakuan baik.

“Sebelum dia meninggalkan mahkamah, kami semua mengumpul duit dan memberikan kepadanya,” imbaunya lagi.

Malah katanya, kes tersebut menjadi kenangan berharga sepanjang dia bergelar peguam.

“Saya hampir pengsan apabila dia beritahu siapa dia. Sangat menyentuh hati dan salah satu detik paling gembira dalam hidup saya. Kami terus melawat ibunya, yang kini berusia 76 tahun.

“Sejak itu, kami jadi rapat. Dia seperti anak kepada saya. Kami akan menziarahi satu sama lain semasa Deepavali dan Hari Raya,” kata Ahmad Zaharil.

Semasa menceritakan pertemuan dengan ibunya pada 1998, dia berkata: “Saya membantu kerana dia adalah rakyat Malaysia. Di Malaysia, walaupun latar belakang kita berbeza, tetapi kita mempunyai persamaan. Kita boleh hidup dalam harmoni sebagai satu keluarga besar”

Sumber:mstar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button