Malam pertama tanpa anak, wife terjaga dan tercari-cari sesuatu… “Dewi, I risau tertindih dia”

PEMERGIAN insan tersayang terutama di bulan Syawal pastinya memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang melalui situasi memilukan itu.

Malah setiap kali kedatangan bulan mulia ini, kenangan bersama mereka biar pun sekejap, pasti akan bermain di fikiran.

Begitulah luahan hati meruntun jiwa seorang bapa yang berkongsi kisah kehilangan anak sulungnya genap setahun pada 11 Syawal lalu.

Menurut Fairuzzaman Shaharuddin, anaknya Dewi Faleesya dijemput Ilahi pada usia empat bulan 25 hari dipercayai akibat tersedak susu semasa di bawah jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kota Kemuning, Shah Alam tahun lalu.

“Doktor assume Dewi meninggal tersedak susu di taska. Sebab ada nampak kesan susu semasa buat prosedur rawatan. Masa dekat kain membaluti jenazah pun ada kesan susu.

“Mula-mula tu rasa nak buat post mortem tapi bila bincang balik dengan wife kami tak jadi buat. Ada banyak possibility. Kami tak nak badan Dewi kena belah. Wife cakap dia deliver cantik Allah bagi jadi dia nak pulangkan balik dalam keadaan sama.

 

Dewi meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.

“What if kami tahu reason di sebalik kematian mengejut itu. Kami takut tak boleh move on dan salahkan seseorang. Jadi perkara tu takkan hilangkan perasaan tu. Jadi kami buat keputusan untuk tak buat post mortem,” katanya ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut sebelum insiden itu, Fairuzzaman yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta di Shah Alam berkata dia dan isterinya berasa rindu setiap kali terkenangkan anak mereka.

“Perasaan pagi tu memang lain… rasa rindu sangat dekat Dewi. Saya dengan wife berbalas WhatsApp mesej cerita pasal dia.

“Sebelum ni tak ada rasa rindu sangat macam tu. Mungkin instinct parents seolah-olah tahu kami takkan jumpa dia lepas balik kerja,” katanya.

Lelaki berusia 31 tahun itu memberitahu jantungnya hampir gugur apabila menerima panggilan daripada isterinya, Nor Farhana Jasmi berkenaan keadaan anak mereka.

“Antara pukul 2 ke lebih 3 petang macam tu, wife call saya dalam keadaan menangis. Dia panik sebab taska beritahu baby sesak nafas dan tak bergerak. Kemudian dia beritahu cikgu taska hantar baby pergi hospital berdekatan.

“Saya rasa masa terhenti, berdesing depan bos (masa tu tengah meeting) terketar-ketar minta excuse nak pergi hospital. Bos suruh balik time tu juga. Saya pack barang dan rembat motor terus pergi hospital.

 

Mesej antara Fairuzzaman dan isterinya pada sebelah pagi sebelum Dewi menghembuskan nafas terakhirnya.

“Saya sampai dulu dan terus pergi kaunter tanya anak saya di mana. Mereka suruh saya ke emergency. Saya masuk dalam dan tengok mereka tengah buat kod biru. Mereka cuba resuscitate semula pernafasan anak saya,” katanya.

Namun kata Fairuzzaman, dia diarahkan jururawat supaya menunggu di luar wad kecemasan.

“Saya terduduk di luar wad. Cikgu taska Dewi tengah meraung. Wife sampai dan terus meluru dekat saya. Terpelanting semua kasut dia, beg laptop, handbag dia semua atas lantai. Terus melutut dekat saya tanya, “Dewi macam mana!?”.

“Soalan wife macam busur panah, tepat ke jantung . Saya sedar yang saya sendiri tak ada jawapan. Apa yang saya boleh cakap, “Doktor tengah selamatkan Dewi. Saya tak tahu Dewi kenapa”.

“Lepas tu doktor keluar dan beritahu kami dah cuba selamatkan dia, sudah 45 minit. Encik mahu kami cuba lagi? Kalau encik benarkan, kami akan cuba dalam 30 minit lagi. Saya tak cakap banyak, cuba jawab ringkas, “Doktor tolong buat apa yang boleh untuk selamatkan anak kami,” katanya.

Selepas 30 minit, Fairuzzaman sekali lagi didatangi doktor bertugas yang memaklumkan mereka sudah lakukan segalanya dan dia minta maaf.

“Waktu tu dia tak beritahu keadaan anak. Jadi kami tak tahu dia berjaya ke tidak. Tapi bila kami pergi sana baby dah tak ada. Dewi baring di katil dan kami nampak lengan dia ada kesan cucuk.

Dewi dihantar dalam keadaan sihat semasa ke taska pada hari kejadian.

“Masa tulah saya dan wife meraung macam orang gila. Baru pagi tadi masa siap-siap pergi kerja, saya letak kubu bantal sebab Dewi dan pandai nak merangkak. Baru sangat pagi tadi saya peluk dia sebelum pergi kerja.

“Petangnya dia dah pergi tinggalkan kami. Tak sakit tak apa. Tiba-tiba dia pergi. Cuba bayangkan macam mana perasaan kami waktu itu,” katanya.

Selepas selesai urusan di hospital dan dapat permit untuk pengebumian, Fairruzzaman berkata jenazah anaknya dibawa balik ke kampung isterinya di Tanjung Malim.

“Mula-mula wife minta orang uruskan. Mak mertua saya pun dah sediakan orang untuk menguruskan mandi jenazah. Tapi selepas wife selesai baca satu surah dia rasa ada semangat dan kekuatan untuk mandikan sendiri jenazah anak kami.

Ketika malam pertama kami tak bersama Dewi tiba-tiba wife terjaga tengah malam. Saya sedar dia cari-cari sesuatu. Saya tanya, you cari apa? Dia kata, Dewi, I risau tertindih dia. Saya kata, sayang…kan Dewi dah tak ada. Terus dia tersedar dan menangis.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN

Pensyarah IPTS

“Dia pegang anak dan saya lalukan air, kami berdua mandikan. Kemudian saya solatkan jenazah sampailah kafankan semua dan bawa ke kubur. Saya sendiri juga turun ke liang lahad untuk ambil anak. Kami rasa itulah kewajipan terakhir yang kami lakukan untuk uruskan dia,” katanya.

Fairuzzaman berkata jenazah anaknya itu dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Sempa, Slim River di Perak.

“Kampung wife dekat Tanjung Malim, saya pula dekat Slim River. Jadi kami buat keputusan untuk kebumi dekat Sempa yang terletak di tengah-tengah antara Tanjung Malim dan Slim River.

Dewi dikebumikan di tanah perkuburan Sempa, Slim River Perak.

“Bagi saya setiap kali saya nak balik kampung belah saya dan wife, kami akan lalu jalan nak ke kawasan kubur. Jadi dekat untuk kami pergi dan kami boleh selalu datang,” katanya.

Meskipun sudah setahun berlalu, Fairuzzaman berkata dia dan isterinya sudah reda dengan pemergian anak sulung mereka itu.

“Ketika malam pertama kami tak bersama Dewi tiba-tiba wife terjaga tengah malam. Saya sedar dia cari-cari sesuatu. Saya tanya, you cari apa? Dia kata, Dewi, I risau tertindih dia. Saya kata, sayang…kan Dewi dah tak ada. Terus dia tersedar dan menangis.

“Tapi masa raya memang terasa sebab tahun lepas raya bertiga. Wife saya bila tengok orang beli baju raya untuk baby dia sedihlah. Dia kata kalau Dewi ada dah besar boleh pakai baju cantik-cantik.

“Sekarang kami reda atas apa yang berlaku. Kami pun tak salahkan pihak taska. Kami tahu Allah takkan bagi kita ujian kalau kita tak mampu harunginya. Bila reda dengan ujian tu Allah bagi macam-macam. Dia beri rezeki anak kedua… dia juga beri rezeki saya sambung belajar (PhD) di Jerman.

“Malah dia juga beri rezeki wife saya jaga anak kami sendiri nanti… Insya-Allah. Jadi kami anggap Dewi satu amanah yang Allah bagi untuk tempoh sekejap. Walaupun sekejap kami rasa seronok sebab dah betul tunaikan kewajipan kami,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kedua pada Ogos depan.

 

Pasangan ini bakal menimang cahaya mata lelaki pada Ogos depan.

Pada masa sama, Fairuzzaman berkata isterinya juga sudah menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) tahun lalu.

“Wife dijangka konvo (PhD) Oktober depan… Insya-Allah. Masa Viva dulu, dia tengah mengandungkan Dewi. Kali ini adik dia pula akan hadir majlis konvokesyen mak dia,” katanya.

Perkongsian Fairuzzaman di Twitternya pada Sabtu lalu mendapat 12,200 ulang kicau dan 10,000 tanda suka.

Rata-rata netizen sebak dan bersimpati dengan nasib menimpa pasangan suami isteri ini.

Mesej Fairuzzaman dengan isterinya pada pagi sebelum Dewi menghembuskan nafas terakhirnya.

Mesej Fairuzzaman dengan isterinya pada pagi sebelum Dewi menghembuskan nafas terakhirnya

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply