Tolong henti tayang filem Hang Tuah!

“TOLONG jangan siarkan lagi filem Hang Tuah kerana banyak kesilapan fakta. Ia boleh mengelirukan generasi muda yang tidak begitu memahami sejarah. Laksamana Hang Tuah yang sebenarnya.”

Demikian gesaan Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin yang mendakwa babak pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat sehingga mengakibatkan kematian sahabat karibnya itu, sebenarnya tidak berlaku.

Apatah lagi kononnya kehebatan keris Taming Sari yang menjadi punca terbunuhnya Hang Jebat di tangan Hang Tuah, adalah tidak benar sama sekali, sekali gus boleh mengundang unsur khurafat.

Filem Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai Laksamana Hang Tuah itu berasaskan kepada dua hikayat lama iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu atau Salalatus Salatin.

 

Khalid Hussin menunjukkan catatan berkaitan sejarah Laksamana Hang Tuah di Duyong, Melaka.

 

Filem itu memaparkan Laksamana Hang Tuah membunuh Hang Jebat, lakonan Allahyarham Ahmad Mahmud selepas dikatakan menderhaka kepada Sultan Melaka.

Dengan gesaan itu, sekali gus Khalid turut menyangkal apa yang tertulis dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu yang dikatakan telah dimanipulasi oleh pihak penjajah.

Beliau lebih berpegang kepada catatan dan penceritaan dalam kalangan ahli Pesawad yang dikatakan berketurunan Hang Tuah bahawa pahlawan tersohor Melaka itu tidak membunuh Hang Jebat, sebaliknya mengadakan rundingan dengan sahabat karibnya itu selama tiga hari di dalam istana selepas menerima arahan daripada Sultan Melaka untuk membunuhnya.

“Rundingan empat mata itu bertujuan mengenal pasti siapa sebenarnya menyebarkan fitnah bahawa Hang Tuah menjalinkan hubungan sulit dengan gundik Sultan.

 

Makam Hang Jebat di Banda Hilir, Melaka.

 

“Selepas selesai berunding, Hang Tuah pulang ke rumahnya manakala Hang Jebat keluar dari istana dan mengamuk serta mencari dan membunuh pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan.

“Selesai membunuh penyebar fitnah, Hang Jebat kemudian ke rumah Hang Tuah yang dikerumuni penduduk Melaka. Hang Tuah bagaimanapun mengarahkan penduduk bersurai kerana beliau boleh menguruskan sendiri Hang Jebat,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di rumahnya di Kampung Duyong, Melaka baru-baru ini.

Khalid mendakwa, Hang Tuah telah mengarahkan Hang Jebat lari ke Langkawi secara senyap tanpa pengetahuan Sultan Melaka dan pembesar lain.

Hang Jebat dikatakan membuka satu penempatan yang dinamakan Ulu Melaka di Langkawi..

 

Perigi Hang Tuah.

 

Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar 1490-an ketika di era pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

Hang Jebat bagaimanapun pulang semula ke negeri kelahirannya itu ketika penjajah Portugis menyerang Melaka sebelum terbunuh dalam peperangan itu pada 1511.

Makam Hang Jebat boleh dilihat di Jalan Hang Jebat berhampiran Jonker Street,Banda Hilir.

Dalam pada itu, Khalid turut mempertahankan dakwaannya bahawa makam yang terdapat di Tanjung Kling, Melaka itu bukan makam Hang Tuah sebagaimana didakwa banyak pihak termasuk Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Beliau mempunyai bukti kukuh bahawa Hang Tuah tidak meninggal dunia di Tanjung Kling sebaliknya menghembuskan nafas terakhir di Palembang, Indonesia pada 1430 Masixhi.

 

Masjid Laksamana Hang Tuah di Duyong, Melaka.

 

 

Makam yang diwartakan kerajaan sebagai Makam Hang Tuah di Tanjung Kling itu ujarnya, sebenarnya milik seorang ahli perniagaan India Muslim dari Malabar, India.

Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Khalid bersedia berdebat dengan mana-mana pihak jika apa yang dinyatakan itu bertentangan dengan fakta sejarah sebenar.

Sehubungan itu, beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu merungkai dan mengkaji semula kewujudan Hang Tuah dan peranannya dalam membangunkan Kesultanan Melayu Melaka sehingga masyhur di seantero dunia sekitar kurun ke-15.

Beliau yang berasal dari Duyong, Melaka mengakui mempunyai pertalian darah dengan pahlawan Melayu itu iaitu di sebelah sepupu Hang Tuah yang dikenali sebagai Tun Kola.

Tambahnya, ada dalam kalangan lebih 500 ahli Pesawad dikatakan mempunyai pertalian terus dengan Laksamana Hang Tuah.

sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply