Umpama ‘Crazy Rich Asian’, 4 pengawal peribadi ke bilik hotel persembahkan 30 kasut buat kerabat diraja

Umpama ‘Crazy Rich Asian’, 4 pengawal peribadi ke bilik hotel persembahkan 30 kasut buat kerabat diraja

MINAT asalnya mengumpul koleksi kasut streetwear terutama edisi terhad, tetapi lama-kelamaan jumlahnya semakin banyak sehingga ada yang tidak dipakai.

Selain edisi terhad, pemuda berusia 35 tahun ini juga dipengaruhi budaya papan luncur, malah sering beraksi dengan permainan itu semasa zaman remajanya.

Apa yang menarik bukan sahaja Muhammad Faisal Hamzah, malahan rakan karibnya, Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah dan Ezry Abu Bakar Ahmad Johan yang sama-sama belajar di Kolej Tuanku Ja’afar di Seremban, Negeri Sembilan juga gemar bermain papan luncur serta mempunyai hobi mengumpul kasut edisi terhad.

“Lama-lama dah jadi banyak koleksi sebab selalu sangat beli sampai ada yang tak dipakai. Daripada situ kami fikir kenapa tidak kami jadi rakan niaga, beli kasut-kasut edisi terhad tu dan jual di pasaran.

“Pemilihan barangan edisi terhad bergantung kepada pereka diikuti jenama, sebagai contoh pereka atau selebriti antarabangsa berkolaborasi dengan jenama terkenal bagi sesuatu produk,” katanya kepada mStar Online di kedainya, Heavy di Publika, Kuala Lumpur.

 

Mengenai kedai yang mula beroperasi awal 2018, Faisal berkata, pasaran barangan edisi terhad amat baik kerana di Malaysia sukar untuk mendapatkan barangan seumpama itu.

Malah anak kelahiran Ipoh, Perak ini turut mengalami nasib yang sama sehingga terpaksa ke luar negara untuk menambah koleksi edisi terhad yang menjadi idaman.

“Masa usia awal 20an, saya sanggup terbang ke London dan beratur panjang di mana-mana kedai semata-mata untuk mendapatkan koleksi edisi terhad.

“Seperti di Malaysia, ada yang sampai bermalam di luar premis untuk menunggu koleksi edisi terhad. Kalau di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat (AS) juga ada yang sanggup menunggu sampai bermalam-malam,” kata anak kedua daripada sembilan adik-beradik ini.

 

Muhammad Faisal.

Ceritanya lagi, barang yang paling mahal dijual di Heavy adalah sepasang kasut AdidasXChanel keluaran 2017 berharga RM45,500 kerana ia antara hanya 500 pasang kasut seumpamanya yang dikeluarkan di seluruh dunia.

Selain itu, sebuah basikal kolaborasi jenama mewah Dior dan pengeluar basikal BMX, iaitu hanya 70 unit di dunia, di mana 10 daripadanya untuk pasaran Asia.

Pelanggan tak mahu tunggu dan sanggup membeli ‘kasut sampel’ itu dengan harga lima kali ganda!

Muhammad Faisal Hamzah

Usahawan

 

Koleksi edisi terhad yang paling mahal dijual berharga RM45,500.

Disebabkan koleksi edisi terhad sukar untuk didapati, Faisal berkata, terdapat pelanggan yang membuat permintaan untuk sesuatu barang dan sanggup membeli pada harga tinggi.

“Pasaran edisi terhad di Malaysia sebenarnya menyaksikan ramai dari keluarga berada. Tak sangka kebanyakan pembeli adalah anak-anak muda yang baru berusia belasan tahun.

“Kami mendapat sampel kasut yang diperagakan semasa pertunjukan fesyen di luar negara dan hanya dikeluarkan di pasaran enam bulan lagi tetapi pelanggan tak mahu tunggu dan sanggup membeli ‘kasut sampel’ itu dengan harga lima kali ganda!,” katanya.

 

Para pelanggannya merupakan pengumpul koleksi edisi terhad.

Seperti gambaran menerusi filem Crazy Rich Asian, kebanyakan pelanggan di Heavy adalah anak-anak orang kenamaan dan kerabat diraja, termasuk golongan ekspatriat.

Faisal yang juga bapa kepada tiga anak berkongsi pengalaman memenuhi permintaan seorang kerabat diraja yang berusia awal 20an yang mahu mendapatkan kasut edisi terhad.

 

Faisal bergaya dengan basikal kolaborasi Dior dan BMX, yang hanya 70 unit di dunia.

Hanya saiz kasut dan rekaan streetwear yang dinyatakan, membuatkan dia membawa kira-kira 30 pasang kasut ke hotel lima bintang di Kuala Lumpur untuk ‘dipersembahkan’ di bilik penginapan pelanggan itu.

“Sampai di hotel, 20 pasang kasut dibawa oleh empat pengawal peribadi ke bilik, dan 10 pasang lagi untuk ‘standby’. Semuanya untuk pelanggan kerabat diraja tu buat pilihan.

“Hanya dalam masa kurang sejam, lima pasang kasut dibelinya dengan harga kira-kira RM25,000. Rasa terkejut juga sebab pertama kali ada pelanggan beli sebanyak itu,” katanya sambil menggambarkan permintaan pelanggan itu sesuatu yang luar biasa.

Kebanyakan pelanggan Heavy adalah anak orang kenamaan, kerabat diraja dan ekspatriat.

Babak seperti filem Hollywood tidak terhenti setakat itu berikutan pelanggan yang sama berminat lagi untuk mendapatkan kasut dan kali ini sebanyak tiga pasang.

“Tapi kali ini tidak dihantar ke hotel seperti sebelumnya, sebaliknya saya diminta untuk menghantar kasut-kasut tu ke rumahnya dan serahkannya di pondok pengawal.

“Setiap pengalaman itu ada keunikan tersendiri dan berbaloi demi kepuasan pelanggan,” kata Faisal yang merancang untuk membuka cawangan Heavy di Jakarta, Indonesia menjelang tahun depan, selain memperkukuhkan jenama streetwear Heavy.

sumber: mstar

Leave a Reply