Tak ada kena mengena pun… – PU Amin

“STATUS dimuat naik bersifat umum dan nasihat kepada semua golongan anak muda. Tiada kaitan dengan mana-mana majlis perkahwinan artis pun.”

Itu kata pendakwah bebas yang juga selebriti, PU Amin apabila status dimuat naik di Instagram semalam disalah anggap segelintir peminat hingga menyebut atau ‘tag’ beberapa nama artis di ruangan komen.

Antaranya pasangan pengantin baru, Elfira Loy dan Faris Anuar dan pasangan pelakon Fazura dan Fattah Amin.

Amin, 29, atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim berkata, dia tidak mahu status berkenaan menimbulkan perbalahan akibat sikap tidak bertanggungjawab pengguna laman sosial.

“Berdasarkan ‘posting’ saya di IG, ramai yang salah faham hingga ada yang ‘tag’ nama artis tertentu.

“Kebetulan semalam saya menghadiri majlis kahwin rakan. Jadi, ramai kenalan yang masih bujang hadir. Ada antara mereka yang sedang merancang dan bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga tahun ini.

“Mentaliti mereka, kalau nak kahwin kena buat majlis secara besar-besaran. Sedangkan, menguruskan perkahwinan perlu mengikut kemampuan masing masing. Pada pendapat saya, majlis perkahwinan yang memakan belanja besar mungkin hanya kepuasan pada hari itu semata mata,” katanya kepada Harian Metro.

Menerusi status itu, Amin berkata jika mahu berkahwin tidak perlu secara gilang-gemilang. Apa yang penting adalah selepas berkahwin iaitu hubungan suami isteri dengan Allah SWT.

Menurut Amin, jangan paksa diri untuk mengadakan majlis secara besar-besaran hingga terbeban.

“Atas sebab itu, saya menasihati agar golongan muda yang nak kahwin merancang dengan baik dan berjimat cermat dalam menguruskan hal majlis perkahwinan.

“Permudahkan dan jangan menyusahkan. Islam mengajar kita untuk bersederhana dalam segala hal. Perkahwinan adalah satu beban dan tanggungjawab yang besar. Pasangan berkahwin perlu mementingkan kehidupan selepas berkahwin bukan hanya semata mata hari majlis persandingan.

“Namun bagi yang mampu dan mempunyai kewangan yang kukuh sebelum dan selepas majlis perkahwinan tidaklah menjadi halangan kepada mereka untuk meraikan hari bahagia mereka,” katanya.

Walaubagaimana pun ramai yang setuju dengan posting PU Amin

sumber: metro

Leave a Reply