Dua anak Haziq masuk hospital

DUA anak penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni dimasukkan ke sebuah hospital di Klang semalam akibat penyakit radang paru-paru.

Haziq ketika dihubungi berkata, anak-anaknya Muhammad Heidy Nufael, 21 bulan dan Chayra Aulia, empat bulan disahkan terkena penyakit berkenaan selepas doktor melakukan ujian X-ray.

Katanya, sebelum ini dia sering membawa anak-anaknya ke klinik tetapi doktor hanya menyatakan ia batuk biasa.

“Lebih tiga bulan kedua-dua anak saya mengalami batuk berterusan sehingga memaksa saya membawa mereka ke hospital.

“Heidy sebelum ini hanya mengalami batuk biasa malah dia sangat aktif, tetapi ia menjadi teruk apabila dia mula mengeluarkan batuk berkahak sehingga muntah.

“Manakala Chayra pula batuk setiap hari dan tidak sangka ia adalah punca radang paru-paru,” katanya.

Katanya, kedua-dua paru-paru Heidy mengalami masalah dan Chayra hanya sebelah saja.

Tambah Haziq lagi, kemungkinan anak-anaknya akan ditahan selama seminggu di hospital untuk memudahkan doktor melakukan pemantauan dan pemeriksaan lanjut.

“Sebagai seorang bapa pastinya saya bimbang melihat keadaan mereka apatah lagi Chayra sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang lama akibat penyakit Pertussis (batuk kokol).

“Sekarang penyakit lain pula yang dia hidapi. Saya mohon doa semua semoga anak-anak saya segera sembuh kalau boleh saya tidak mahu mereka lama-lama di hospital,” katanya.

Netizen turut mendoakan kesembuhan anak -anak Haziq.

sumber: Metro

Leave a Reply