Belajar dua tahun je, anak bekas pembaca berita dapat keputusan ‘power’

Memang sukar untuk berjumpa dengan wanita yang memiliki ‘beauty with brain’ pada masa kini, dimana kecantikan seiring dengan ilmu pengetahuan yang ada dengan menonjolkan personaliti diri dan memberikan inspirasi buat individu lain.

Baru-baru ini, seorang gadis Sarah Amanda berjaya mendapat perhatian netizen di Twitter apabila mendapat keputusan cemerlang dalam pengajiannya di University of West England.

Gadis berusia 21 tahun itu berjaya mendapat kepujian dalam Bacelor Perakaunan dan Kewangan ketika berlangsung majlis graduasi pada 17 Julai lalu.

Menurut anak kepada pasangan juruterbang dan bekas pembaca berita popular tahun 90-an Azura Abdul Karim itu, dia tidak dilahirkan untuk terus cerdik sebaliknya sentiasa berusaha bagi mendapat keputusan cemerlang.

Gadis yang berasal dari Shah Alam itu banyak menghabiskan masa dari pagi hingga malam bagi mentelaah pelajaran demi menamatkan pengajian dalam tempoh singkat iaitu selama dua tahun.

Ini kerana anak keempat daripada enam beradik itu memiliki sijil Juruteknik Perakaunan Bertauliah (CAT) dari Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) ketika berusia 18 tahun.

Tambah Sarah, dia mengakui pada mulanya tidak berhasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan kerana tidak begitu berminat dengan nombor.

Tetapi setelah ayahnya mencadangkan bagi mengambil jurusan tersebut dan melakukan solat sunat istikharah, dia meneruskan juga impian dan harapan sehingga mengenggam segulung ijazah.

Selain memberi fokus terhadap pelajaran, rahsia kejayaannya juga adalah harus bijak memberi keutamaan ke atas tugasan yang diberikan oleh pensyarah, selain belajar secara berkumpulan.

Menjadikan tokoh perniagaan Aireen Omar, Datin Paduka Marina Mahathir dan Malala Yousafzai sebagai idolanya, Sarah bertuah apabila ditawarkan pekerjaan sebagai juruaudit di firma audit antarabangsa KPMG sebaik tiba di tanah air.

Dia juga bercadang untuk bekerja sambil belajar untuk mendapatkan sijil Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA). Dahsyatnya!

Bukan sekadar cantik dengan ‘otak kosong’. Semoga kisah dan perkongsian ini dapat dijadikan inspirasi kepada para pelajar yang sedang berjuang untuk menamatkan pengajian!

 

Kredit: Ohmymedia

Sumber : Sarah Amanda , mStar Online

Leave a Reply