‘Saya lebih tenang sekarang’

PETALING JAYA: ‘Saya lebih tenang dan banyak habiskan masa di rumah.’

Itu reaksi penyanyi kontroversi, Haqiem Rusli, 20, selepas enam hari merujuk isu kemurungan yang didakwa dihadapinya, kepada pakar psikiatri.

Penyanyi lagu Tergantung Sepi itu mendakwa dirinya lebih tenang dan mula mempraktikkan gaya hidup sihat.

“Pada mulanya, saya bertemu ahli psikologi disusuli pakar psikiatri. Ada beberapa perkara yang saya tak boleh dedah kerana sangat sulit.

“Namun, apa yang boleh saya beritahu, saya lebih tenang dan stabil,” katanya kepada BH Online.

Haqiem berkata, dia mula mengubah gaya hidup bagi memudahkan proses pemulihan.

“Kalau dulu, saya suka lepak pada waktu malam hingga pagi, apatah lagi saya berdepan masalah sukar tidur atau insomnia.

“Bayangkan, setiap hari, saya hanya boleh tidur pada jam lima atau enam pagi,” katanya ditemui pada majlis Stand In Solidarity For Mental Illness anjuran Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), di sini.

Pada majlis itu, aktres jelita, Erra Fazira diumumkan menjalin kerjasama dengan pertubuhan itu bagi meningkatkan kesedaran ramai terhadap sakit mental.

Haqiem menambah, setiap hari dia perlu memastikan dirinya cukup tidur.

“Saya cuba mengubah gaya hidup yang lebih sihat… Saya kena cukup tidur.

“Doktor juga beri ubat tidur supaya saya dapat putaran normal semula… Saya tidak lagi keluar rumah terlalu kerap buat sementara waktu.

 

 

“Ini kerana saya tak mahu mengundang kecaman. Saya selesa meluangkan masa dengan keluarga di rumah,” katanya berehat sebulan untuk kembali stabil.

Haqiem berkata, selepas apa yang terjadi, dia mahu menjadi diri sendiri setiap kali berinteraksi di laman sosial.

“Sebelum ini, saya agak takut hendak muat naik sesuatu… Namun, selepas diberi semangat insan terdekat, saya memilih jadi diri sendiri.

“Saya ambil langkah menutup ruang komen untuk tidak menggalakkan netizen menambah dosa, sekali gus menyalurkan aura negatif,” katanya.

Mengenai karier seni, Haqiem berkata, dia masih meneruskan siri promosi single terbaharu, Selamat Tinggal Sayang.

“Cuma buat masa sekarang, saya kena lebih selektif memilih acara. Saya lebihkan masa untuk diri sendiri berbanding aktiviti lain,” katanya.

Sementara itu, pakar psikiatri dan pensyarah kanan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM), Dr Hazli Zakaria yang hadir pada majlis itu berkata, Haqiem perlu terus menjalani sesi perundingan bagi melengkapkan prosedur rawatan.

“Ada banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum memulakan diagnosis. Ini bukan mudah kerana banyak maklumat perlu diambil tahu.

“Saya perlu faham apa yang berlaku kepada dirinya sehingga timbul masalah berbangkit seperti didakwa. Kita perlu tahu apa yang terjadi kepadanya adalah kesihatan mental atau penyakit mental,” katanya.

Dr Hazli berkata, minat dan usaha meningkatkan tahap keyakinan diri Haqiem juga menjadi antara perkara penting yang perlu dipantau sepanjang proses rawatan.

 

 

Sumber: BH

Leave a Reply