‘Dulu geram, sekarang tak peduli lagi’

KUALA LUMPUR: Di sebalik penerimaan ramai terhadap single pertamanya, Tuhan Jaga Dia Untukku, Fiena mengakui, ada segelintir pihak kurang senang dengan kejayaannya apabila melemparkan pelbagai komen negatif di media sosial.

Fiena yang pernah mencuba nasib sebagai protege Akim Ahmad dalam program, Mentor Milenia, tahun lalu bagaimanapun, tidak pernah ambil kisah perkara itu kerana menganggap, ia perbuatan mereka yang cemburu.

“Saya bersyukur kerana Tuhan memberikan kelebihan bakat dan mungkin itu yang membuatkan ada yang kurang senang. Memang saya tidak sempurna seperti insan lain, tetapi saya bersyukur dianugerahkan Allah bakat.

“Awal dulu memang saya geram dilempar pelbagai kata negatif, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali,” katanya.

Remaja cacat penglihatan berusia 19 tahun itu bagaimanapun, berharap kejayaan lagu itu menjadi pembakar semangat kepada insan senasib supaya bangkit berjuang dan mengetepikan kekurangan diri untuk berdiri setanding bakat lain.

Fiena berkata, melihat jumlah pencipta lagu dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang masih kecil, penerimaan ramai menguatkan lagi semangatnya untuk melangkah jauh dalam industri muzik.

Bukan mahu bersaing dengan penyanyi normal lain, sebaliknya Fiena atau nama penuhnya, Nur Zafiena Anissa Zaini sekadar ingin berkongsi bakat dan kelebihan diri supaya keupayaan sebenarnya dilihat masyarakat.

“Ketika ini, saya mempunyai enam lagu dalam simpanan. Liriknya sudah siap, cuma saya kurang arif dalam ciptaan lagu. Saya sebenarnya banyak mengambil inspirasi daripada drama Korea Selatan sebagai ilham ketika menulis lagu dan lirik,” katanya.

Bakal muncul dengan single kedua, Apa Salahku, Fiena yang meminati animasi Jepun atau anime juga ingin mencuba nasib dalam bidang alih suara dan tidak menolak sekiranya ditawarkan peluang.

“Saya memang mahu mencuba jika ditawarkan untuk berlakon atau melakukan alih suara. Memang saya tidak sempurna, tetapi saya sering anggap saya sama seperti insan normal lain.

“Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai insan berbeza daripada orang lain. Disebabkan itu, apa yang orang normal lain buat, saya juga ingin cuba melakukannya,” katanya.

Sumber: BH

Leave a Reply