Syafiq Kyle sucikan diri

PADA 27 Mei lalu, nama pelakon drama Dekatkan Jarak Kita, Syafiq Kyle menjadi topik perbualan hangat apabila rakaman video lucah berdurasi kira-kira dua minit yang dikaitkan dengan aktor tersebut tersebar dalam media sosial.

Tidak cukup dengan itu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual video rakaman penuh tersebut pada harga serendah RM20.

Selain rakaman video, turut tersebar adalah mesej Instagram atau DM berkaitan isu tersebut.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohamad Shafiq Shamim Abdul Razak, 26, tampil membuat kenyataan rasmi berhubung kontroversi tersebut pada 30 Mei lalu setelah berdiam diri selama hampir dua hari.

Selepas hampir beberapa hari sejak terpalit dengan kontroversi itu, Syafiq yang mempunyai seramai 1.4 juta pengikut dalam laman Instagram mahu meletakkan penutup kepada episod hitam yang dilalui dalam hidupnya itu.

“Sejujurnya saya tidak mahu memberikan komen lagi berhubung isu ini. Malah, saya sendiri mahu meletakkan titik kepada kontroversi tersebut dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kehidupan saya berjalan seperti biasa selepas kontroversi itu. Hal ini kerana saya mempelajari banyak benda baharu dan perkara itu juga terjadi dalam bulan mulia ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif dan sesi beramah mesra dengan barisan artis Pelangi Cintabertempat di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi drama Pelangi Cinta, Syafiq berganding bersama empat lagi selebriti lain iaitu Mira Filzah, Hairul Azreen, Aiman Hakim Ridza dan Shukri Yahaya.

Sucikan diri

Kongsi pelakon filem Langsuir itu lagi, dia mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan tatkala berdepan kontroversi tersebut.

Malah katanya, seperti semua sedia maklum, bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk menyucikan diri dan dia juga tidak terkecuali.

“Tipulah jika tidak tahu bulan Ramadan ini merupakan waktu yang sesuai untuk kita menyucikan diri. Saya juga mengambil peluang dalam keberkatan Ramadan untuk membersihkan dosa-dosa saya sebelum ini.

“Itu merupakan hajat yang saya terapkan setiap kali tibanya Ramadan,” jelasnya yang tidak berdepan dengan buli siber akibat kontroversi tersebut.

Ketika ditanya adakah kerjayanya terganggu disebabkan kontroversi tersebut, pelakon drama bersiri Nur itu memberitahu, kariernya berjalan seperti biasa dan tiada apa yang berubah.

Dia juga tidak berdepan masalah dengan stesen televisyen berhubung kontroversi itu kerana menyifatkan perkara itu merupakan penerimaan masing-masing.

Pada kesempatan ini juga, Syafiq turut mengucapkan syukur kerana menerima sokongan daripada selebriti lain.

Antara selebriti yang turut bersimpati dengan nasib Syafiq ialah Hannah Delisha, Sherry Alhadad, Zahirah, Hael Husaini, Izreen Azminda, Azira Shafinaz, Aeril Zafrel, Aedy Ashraf, Idris Khan, Fattah Amin dan isterinya, Fazura termasuk penerbit filem, David Teo.

“Sokongan itu menunjukkan kami saling menyokong antara satu sama lain. Mereka juga nampak dari sudut positif apa yang saya lihat dalam bulan mulia ini dan sangat menghargainya.

“Rakan-rakan terdekat saya yang bukan dalam kalangan artis juga turut menyatakan sokongan dan memberi kata-kata semangat,” katanya yang akan bercuti selama sebulan sempena lebaran.

Filem aksi

Bercerita berkenaan projek terbaharu, Syafiq memberitahu, dia bakal muncul menerusi telemovie sempena Syawal berjudul Taubatku arahan Heykal Hanifah yang bersiaran pada hari raya kedua nanti.

Bercakap mengenai telefilem itu, timbul pula dakwaan peserta Hero Remaja 2011/2012tersebut digugurkan dan digantikan dengan pelakon Remy Ishak.

Bagaimanapun, Syafiq menyangkal dakwaan tersebut kerana dia masih dikekal dalam telefilem tersebut.

“Saya tidak mahu menjawab dakwaan ini kerana ia akan mengganggu pihak produksi. Sebelum ini ada juga yang bertanya berdasarkan sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai. Saya sendiri menghubungi pihak produksi dan ia tiada kena-mengena dengan saya digugurkan daripada telefilem tersebut,” jelasnya yang akan beraya di kampung halamannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Syafiq turut berkongsi keterujaannya yang bakal berlakon dalam sebuah filem aksi membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Kata pelakon drama Mencintaimu Mr. Photographer itu, dia bakal menjalani penggambaran bermula Ogos depan.

“Saya akan menjalani latihan bersama pihak Maritim selama dua minggu dan sejujurnya agak berdebar kerana ini merupakan filem aksi saya yang pertama.

“Untuk itu, saya mahu memberikan komitmen 100 peratus. Saya sendiri mempersiapkan diri dengan menjalani rutin senaman di gimnasium selama sebulan,” ujarnya yang turut mendapat nasihat daripada Hairul Azreen berhubung pemakanan.

Kata Syafiq, menerusi filem itu, dia perlu membentuk semula tubuh (body tone).

“Jika besarkan badan tidak susah tetapi untuk membentuk semula badan yang sukar sedikit. Saya sedang berusaha untuk melakukannya.

“Hal ini kerana jika berbadan besar, pergerakan saya untuk melakukan aksi agak sukar,” kongsinya sambil memberitahu judul filem tersebut masih belum dipastikan lagi.

Mengambil berkat bulan Ramadan, Syafiq Kyle yang baru dihimpit kontroversi video lucah lebih banyak memohon keampuan kepada Allah daripada berbicara tentang hal tersebut yang telah mahu ditinggalkannya.

 

Sumber: Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *