Rindukan sayakah? – Neelofa

SEPUTAR 360 darjah kehidupannya memang tidak pernah lekang dengan cerita-cerita sensasi penuh kontroversi.

Malah, seperti yang diketahui umum, kali terakhir Neelofa terpalit dengan kontroversi adalah menerusi gaya berani matinya mengenakan fesyen pelik, jaket dengan seluar berwarna jingga dipadankan dengan turban dan ‘pouch bag’ besar di pinggang.

Berlaku sekitar awal Mei lalu, Neelofa yang seperti biasa menerima kecaman dan kritikan netizen kemudiannya dilihat lebih selesa untuk mendiamkan diri kebelakangan ini seolah-olah mahu lari daripada sebarang kontroversi.

Bertemu dengan pelakon, pengacara dan selebriti popular tanah air ini di majlis pelancaran kiosk Pretty Suci di Sephora, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Neelofa akui dia sedang dalam proses memperlahankan karier seninya demi fokusnya pada bulan Ramadan.

Tahu bahawa ada yang barangkali tertanya-tanya mengapa dia tidak ‘panas’ seperti biasa, Neelofa dalam canda tawa sempat mengusik barangkali ada yang rindu dengannya.

“Kenapa? Rindukan sayakah? Tak adalah.. saya cuma berniat mahu melakukan perkara-perkara yang baik sepanjang bulan Ramadan ini.

“Sebenarnya memang setiap tahun apabila tiba sahaja bulan puasa, saya sedaya upaya akan cuba mengosongkan jadual kerja. Itu termasuklah tidak menerima sebarang jemputan untuk berbuka puasa di luar kecuali ia sangat penting dan saya tidak dapat mengelak.

“Tujuan utama saya adalah mahu bersama-sama keluarga sepanjang Ramadan ini,”katanya.

Mengaku setakat ini, hampir 80 peratus masanya sentiasa bersama keluarga, Neelofa juga bahagia kerana diberikan nikmat dan peluang untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang, sesuatu yang sentiasa didambakannya.

“Bayangkan, hari-hari lain, saya terlalu sibuk dengan jadual kerja yang padat sehinggakan nak curi peluang untuk makan tengahari atau malam bersama mereka juga sangat susah.

“Selain bertumpu pada ibadah, ini sahajalah masa saya untuk bersama denga keluarga,”katanya yang tidak menolak, sepanjang Ramadan ini jiwanya penuh dengan ketenangan.

Berhenti mengacara?

Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini juga sempat melahirkan rasa hairannya apabila ada yang mendakwa dia sudah membuat keputusan untuk berhenti menjadi pengacara program Meletup siaran Astro.

Menyifatkan ia tidak benar malah cuma gosip semata-mata, kata Neelofa dia tidak pernah menyuarakan sebarang hasrat untuk berhenti.

“Setakat ini belum keluar lagi daripada mulut saya mengenai hasrat untuk berhenti mengacara program Meletup. Malah, pihak Astro juga tidak ada berbincang dengan saya mengenai isu mahu menamatkan kontrak saya,”katanya.

Tidak menolak kemungkinan ada yang tersalah faham memandangkan rakan pengacaranya, Nabil Ahmad pernah memuat naik gambar mengenai kontrak Meletup di Instagram, Neelofa cuma tersenyum.

“Semua orang kena faham, pelaksanaan kontrak bersama Meletup bersifat tahunan. Kami akan memperbaharui kontrak setiap akhir tahun.

“Tak ada khabar angin daripada Astro untuk menamatkan kontrak saya, jadi janganlah risau saya masih bersama program itu,”katanya.

Tidak mahu memanjangkan isu, Neelofa berharap semua pihak sudah jelas dengan situasi tersebut menerusi kenyataan ini.

Dalam pada itu, dia yang dikatakan cukup serasi berdamping bersama pelakon Zul Ariffin menerusi drama arahan Michael Ang, Ti Amo Sweetheart 100 Hari mengaku berdebar dengan penerimaan penonton dan peminat menjelang Raya nanti.

“Cerita tu penuh intimasi, bohong kalau saya katakan tidak berdebar menerima reaksi penonton nanti. Tetapi rasanya mahu atau tidak, saya kena sediakan diri untuk itu,”katanya.

Sumber: Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *