Alif beraya di Thailand

Semudah tolakan, istana pasir yang dibina rebah ke bumi. Begitulah hal yang terjadi pada kebanyakan selebriti yang menjadi mangsa kontroversi tanpa disangka.

Sahih atau tidak sesuatu isu yang melanda, itu perkara kedua. Hakikatnya, perkara yang telah tular membekas tompok hitam pada kehidupan selebriti tersebut.

Maka disebabkan itu, pengacara dan pelakon popular, Alif Satar sentiasa berhati-hati mencorak perjalanan hidupnya agar tidak terpalit sensasi.

“Walaupun tidak mahu dianggap idola, tetapi sedikit sebanyak kita (golongan artis) menjadi panduan kepada masyarakat. Bukan itu saja, sebagai individu, saya juga mahu menjadi Muslim yang baik. Termasuk juga menjadi artis, anak, suami dan bapa yang baik kepada kedua-dua anak saya. Jadi, saya kena pandai menjaga diri dan tahu menilai apa yang baik dan buruk,” ujarnya kepada Sensasi Bintang saat ditanya mengenai dirinya yang lutsinar daripada sebarang kontroversi selama 12 tahun berada dalam industri seni.

Berani

Meskipun usia pelayaran seninya melebihi satu dasawarsa, namun impak kehadirannya benar-benar membolosi setiap mata umum sejak drama rantaian adaptasi novel, Dia Semanis Honey bersama Siti Nordiana yang disiarkan dua tahun lalu.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd. Satar itu juga enggan terburu-buru mengaut keistimewaan di depan mata berkat namanya yang kini terjual di mata khalayak.

Sebaliknya, pada saat ramai artis yang terjun ke dunia bisnes waima baru setahun jagung berada dalam industri seni. Alif pula menyifatkan tempoh 12 tahun dalam industri seni baru dianggap ranum untuk dirinya melakukan bisnes.

“Tahun ini, baru saya berani ceburi bisnes. Bisnes yang saya usahakan itu bukan produk baju atau kecantikan. Ia sejenis kad keperluan peribadi (lifestyle card) hasil kerjasama saya dengan sebuah syarikat. Lebih tepat lagi, saya mahu mengajak peminat untuk tidak lagi menggunakan tunai pada masa hadapan. Malah, pemegang kad tersebut turut mendapat diskaun istimewa dalam pembelian,” takrif Alif mengenai bisnes terbaharunya yang akan dikongsikan lebih lanjut kelak.

Teruja

Beralih pada projek seninya pula, Alif bersyukur program bual bicara pertamanya, It’s Alif! bakal memasuki musim kedua pada 26 Jun nanti.

Berbeza dengan musim pertama yang dibuat secara rakaman, kata pengacara berusia 28 tahun itu, It’s Alif! untuk musim kedua akan dibuat secara langsung dan pengisiannya lebih segar termasuk dia turut membuat persembahan secara langsung bersama band.

“Alhamdulillah NTV7 memberi kepercayaan kepada Alif untuk mengendalikan program tersebut untuk musim kedua,” ujarnya yang turut bakal muncul dalam supertelefilem Astro First yang berjudul Hantus pada Aidilfitri nanti.

Menganggap karya terbitan Nabil Ahmad itu sebagai sesuatu yang istimewa, Alif turut berkongsi keterujaannya berlakon dalam karya yang membariskan ramai artis terkenal itu.

“Sangat teruja apabila kita ditawarkan dengan naskhah yang segar seperti itu. Skrip tulisan Nabil itu juga sangat menarik dan saya juga berbangga berlakon di samping Faizal Hussien,” katanya.

Terakhir bersama Nana

Menggali rasa dalam lubuk jiwanya mengenai gandingannya bersama Siti Nordiana dalam drama Klik! Pengantin Musim Salju pula, Alif mengakui gementar menerima reaksi penonton kerana drama itu disiarkan menerusi slot baharu di Astro Ria (104), setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam.

“Pada mulanya memang saya akui agak takut dengan reaksi peminat kerana drama saya itu disiarkan pada waktu yang sama drama di slot Akasia, TV3. Namun, alhamdulillah, rezeki sekali lagi digandingan dengan Nana, drama itu mendapat rating yang bagus,” ujarnya yang turut mengakui itu merupakan gandingan terakhirnya bersama penyanyi manis itu menerusi drama.

Tiada sebarang kemelut dengan Nana, malah terpaksa menghampakan hati peminat yang suka melihat gandingannya dengan penyanyi itu. Alif berasakan sudah tiba masanya dia dan Nana tidak lagi digandingkan pada mana-mana projek.

“Rasanya, cukuplah sampai di sini sahaja gandingan kami. Sudah terlalu banyak kami digandingkan bersama termasuk lagu Sebenarnya yang dijadikan sebagai lagu OST untuk drama Klik! Pengantin Musim Salju. Peminat dapat menyaksikan kali terakhir kami digandingkan adalah menerusi konsert Just Us – Alif Satar & Siti Nordiana Live Concert In Singapore yang akan berlangsung di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura pada 31 Ogos nanti,” katanya.

Cukup bercerita tentang karier seni, Alif bakal menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur dulu dan selepas itu dia serta keluarga termasuk ibu bapa serta adik-beradiknya akan beraya di Thailand.

“Raya tahun ini seronok kerana saya dapat membawa seluruh keluarga bercuti ke Thailand,” ujarnya yang tidak menolak jika ada rezeki dikurniakan anak ketiga kerana dia sememangnya mengimpikan mempunyai anak yang ramai.

Sumber: Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *