Gelagat ‘si kerdil’ mencuit hati

“APA yang paling meruntun hati apabila anak pegang erat tangan saya dan dengan raut wajah ceria memberitahu dia sudah semakin tinggi.

“Satu lagi keletah anak yang menarik adalah dia memberitahu mahu jadi doktor pakar bila sudah dewasa.

Sebagai ibu, saya akan terus menyayanginya tidak kira bentuk fizikal anak atau apa orang kata,” kata Aisyah Mohamad, 36, ibu kepada kanak-kanak kerdil, Ikhwan Yunus Mohd Ridzwan, 3 tahun.

Ikhwan yang mengalami masalah tulang pendek atau kerdil tular di laman sosial selepas video gelagatnya melakukan tarian Panama dan memberitahu mahu menjadi doktor pakar dikongsi ramai netizen.

 

Aisyah berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan mengalami masalah tulang pendek ketika kandungannya memasuki 34 minggu dan selepas dilahirkan, ketinggiannya cuma 67 sentimeter saja.

Pada mulanya, dia dan suami Mohd Ridzwan Ali, 34, sukar menerima kenyataan itu, namun mereka positif dan berserah kepada Allah SWT.

“Selepas melahirkan Ikhwan, doktor mengesahkan anak memang mengalami masalah tulang pendek dan berikutan itu, ketinggiannya terbantut.

“Saya dan suami tak kisah kerana Ikhwan adalah zuriat kami meskipun fizikalnya berbeza berbanding dua abangnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong Prima, semalam.

GELAGAT Ikhwan Yunus yang menghiburkan walaupun mengalami masalah tulang pendek.

 

Aisyah berkata, keletah Ikhwan menghiburkan mereka sekeluarga dan dia berkongsi video berkenaan di media sosial semata-mata mahu memberi semangat kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak sepertinya supaya tidak malu dengan kurniaan Allah SWT.

“Kami tidak ada niat menjadikan anak bahan hiburan atau boneka, cuma saya mahu rakan tahu perkembangan Ikhwan kerana dia kini semakin lasak, aktif dan gelagatnya menghiburkan hati semua orang.

“Kepada ibu bapa lain, jangan malu kalau ada anak seperti Ikhwan. Sekarang, saya menggalakkan dua abangnya membawa Ikhwan keluar bersiar-siar, mungkin cara itu dapat menghakis perasaan rendah diri atau malu berjumpa orang ramai apabila dewasa nanti,” katanya.

Katanya, individu dikurniakan anak sepertinya perlu banyak bersabar berikutan fizikal Ikhwan yang menimbulkan persepsi negatif dalam segelintir masyarakat.

“Ada yang kata kepala anak besar, kaki pula pendek. Memang terasa, tapi saya memilih untuk mendiamkan diri kerana kebahagiaan Ikhwan lebih utama,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *