Terkilan tidak terus kata “ya” sehari sebelum…

PETALING JAYA: Seorang pelukis inai meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan terakhir rakan rapatnya, Norfahana Abd Halim yang mahu dia menyerikan tangan dan jarinya untuk majlis persandingannya nanti.

Segalanya kerana Norfahana yang bertugas di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Pangkalan Udara Labuan dalam perjalanan untuk bertemu dengan suaminya yang sakit, tiba-tiba mengalami keguguran di dalam tandas Lapangan Terbang Labuan pada Ahad lalu.

Pegawai tentera berusia 23 tahun itu ditemui pengsan oleh petugas lapangan terbang tersebut sebelum dibawa ke Hospital Labuan tetapi gagal diselamatkan akibat pendarahan serius.

Kisah menyayat hati itu meruntun perasaan netizen kerana terkesan dengan nasib yang menimpa wanita tersebut.

Menurut Roslina Rahim, rakannya Norfahana atau lebih mesra disapa Hana ada menghantar pesanan mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mahu menggunakan khidmatnya untuk melukis inai pada majlis persandingan wanita tersebut yang sepatutnya berlangsung pada Aidilfitri ketiga, Jun nanti.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/04/18/ustazah-tentera/~/media/db8d764f12584465979dce636dee21df.ashx?la=en&h=465&w=620

Tinggal kenangan… Hana (tiga dari kanan) bersama rakan sejawatannya.

Bagaimanapun, Roslina berkata, dia mahu mempertimbangkan terlebih dahulu mengenai permintaan Hana memandangkan dia tidak mengambil sebarang tempahan pada perayaan tersebut.

“Arwah ada WhatsApp saya nak booking henna (inai) untuk majlis persandingannya sehari sebelum dia ‘pergi’. Saya macam tak percaya apabila dapat tahu dia sudah tiada.

“Saya terkejut dan pada masa saya terkilan kerana tidak sempat tunaikan permintaannya. Kalau saya tahu dia akan pergi, saya akan terus kata ya,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/04/18/ustazah-tentera/~/media/3fb4ef67fa83411499205bb68125106d.ashx?la=en

Hana bersama suaminya yang dikenali sebagai Aidil Fitri.

Jelas Roslina, Hana baharu saja melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya di Kampung Bagan Naka Kedah pada 16 Februari lalu dan ketika majlis akad nikah itu dia turut memberi khidmat melukis inai khas buat rakan baiknya itu.

“Arwah baru sahaja bernikah dengan suaminya (Aidil Fitri) Februari lalu. Memandangkan arwah tak dapat cuti lama maka mereka rancang nak adakan majlis persandingan pada raya ketiga nanti.

“Sedih kerana hajatnya untuk meraikan hari bahagia bersama orang tersayang tidak kesampaian. Semoga suami dan keluarga Hana tabah melalui ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Roslina berkata, Hana ada menyatakan rasa gembira kerana dapat tinggal bersama dengan suaminya pada Jun nanti selepas beberapa bulan terpaksa tinggal berjauhan selepas majlis akad nikah.

“Mereka terpaksa berjauhan. Hana di Labuan manakala Aidil Fitri di Kuala Lumpur. Tapi Hana beritahu suaminya dapat berpindah ke Labuan.

“Dia amat gembira. Kalau tak silap saya suaminya akan memulakan tugas di Labuan selepas selesai majlis persandingan mereka nanti,” katanya.

Kata Roslina lagi, arwah turut membuat tempahan tilam kekabu untuk dibawa balik ke Labuan nanti.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/04/18/ustazah-tentera/~/media/f5fbd67ff70047e0b4d42956cce05d77.ashx?la=en

Jenazah Hana dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Bagan Naka, Kedah.

“Dia ada tempah tilam kekabu. Dia kata nak pos terus ke Labuan takut mahal, jadi dia minta saya hantar dahulu ke rumah ibunya.

“Lepas majlis sanding nanti baru dia bawa balik ke sana. Dia kata nak pakai kat rumah baru nanti,” kata Roslina dalam nada sebak.

Pada masa sama, Roslina turut bersedih kerana Hana yang sedang hamil ada memberitahu dia teringin makan buah gemia.

“Dia ada beritahu kawan-kawan dalam kumpulan WhatsApp mengidam buah gemia. Dia nak cari buah tu bila cuti nanti memandangkan sekarang sedang musim buah berkenaan,” katanya.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/04/18/ustazah-tentera/~/media/902b1d2d96334aaea9a8a954bc9b8d16.ashx?la=en

Hana semasa majlis pernikahannya pada Februari lalu.

Ditanya mengenai perwatakan Hana, Roslina menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang periang, aktif, mudah didekati, disenangi rakan-rakan dan suka bergurau.

“Pemergiannya amat dirasai. Kini tiada lagi gurauannya di dalam kumpulan WhatsApp kami,” katanya.

Roslina berkata dia turut terkejut dengan kunjungan diluar jangkaan ke majlis pengebumian Hana.

“Tak sangka orang yang tidak dikenali turut hadir selepas posting mengenai berita pemergiannya itu tular di media sosial,” katanya.

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/04/18/ustazah-tentera/#4bhGA4YbhojCHo4H.99

Leave a Reply