“Saya Tetap Dengan Pendirian” – Sweet Qismina

PELAKON Sweet Qismina mengakui namanya agak tenggelam daripada industri seni walaupun pernah memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-30 tahun lalu.

Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 21, berkata, ‘kehilangannya’ bukan disebabkan sudah tidak mempunyai tawaran berlakon tetapi dia kini sibuk menumpukan tumpuan kepada pengajiannya di universiti yang memasuki tahun kedua.

“Memang ada orang tanya selepas menang anugerah saya terus tenggelam dan ‘hilang’ tetapi sebenarnya tidak. Saya masih ada dalam industri.

“Cumanya saya kini perlu membahagikan masa di antara lakonan dan pengajian saya di universiti,” katanya kepada mStar Online.

Sweet ditemui pada majlis tayangan perdana filem televisyen (FTV), Suatukala yang diadakan pada Isnin lalu.

Tumpuan Sweet kini adalah untuk menggengam segulung ijazah.

 

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Amir Raja Lawak, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykal Iskandar, Wafiy Ilhan, Sweet Qismina, Harith Haziq, Qistina Raisah, Arel Azimi dan Firdaus Ghufran.

Suatukala bakal menemui penonton bermula 15 Mac ini di Astro First Eksklusif (480) dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam.

Dalam pada itu, Sweet berkata, sejak memenangi anugerah tersebut dia dibanjiri dengan tawaran berlakon yang kebanyakannya untuk slot drama popular.

Bagaimanapun kata Sweet, dia terpaksa menolak beberapa tawaran besar kerana terikat dengan jadual pengajiannya di universiti.

“Saya masih muda dan tidak mengapa jika saya terlepas beberapa tawaran besar kerana paling penting saya habiskan dahulu pengajian saya.

Barisan pelakon filem televisyen Suatukala yang bakal menemui penonton bermula 15 Mac ini di Astro First Eksklusif.

“Ada juga kata saya menolak tuah kerana tawaran diberikan untuk slot terkenal tetapi saya tetap dengan pendirian saya.

“Sayang tu memang sayang… tetapi saya rancang perjalanan karier saya dan percaya rezeki saya akan tiba nanti,” katanya.

Sweet kini sedang berada di tahun kedua dalam bidang ijazah sarjana muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di Universiti dan Kolej SEGi.

Dalam perkembangan lain, Sweet berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama berantai 100 episod dan dia menerima tawaran itu kerana ia tidak menggangu pengajiannya di universiti.

“Saya tertarik dengan watak diberikan iaitu sebagai seorang gadis yang mengalami masalah autism dan kebetulan pihak produksi boleh mengikut jadual kelas saya di universiti,” katanya.

Sumber: Mstar

Leave a Reply