[VIDEO] Jangan biarkan Anuar Zain kempunan

KUALA LUMPUR 5 Mac – Dua tahun lagi penyanyi bernama Anuar Zain mencapai usia jubli emasnya.

Video oleh HASNURUL MOHAMED

Sepanjang lebih tiga dekad Anuar berdiri sebagai penghibur lelaki di pentas hiburan tanah air rasanya sudah tiba waktu dan ketika insan seni ini berdiri di atas pentas berprestij dunia, Royal Albert Hall, London untuk satu persembahan yang menjadi kenangan manis dalan pencapaian Anuar sebagai penyanyi.

Persembahan Anuar di seluruh pelosok tanah air sebagai taman permainan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika berdirinya insan seni ini di pentas Royal Albert di London, itu sebagai satu pengiktirafan tertinggi dan secara peribadi bagi Anuar.

“Wow! Royal Albert Hall. Segalanya bergantung pada masa dan faktor kewangan jika mahu melangkah ke pentas antarabangsa bagi membuat persembahan,” demikian reaksi spontan Anuar atau pemilik nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 48 tahun.

Terus terang Anuar berkata, sekiranya beliau membuat persembahan di luar negara, entourage yang mengiringinya agak ramai.

Ini kerana beliau perlu memastikan segala-galanya berjalan lancar dan tidak mahu timbul apa-apa masalah.

Pun begitu kata Anuar, sememangnya beliau menyimpan hasrat di dalam hati untuk menghiburkan peminat-peminatnya yang berada di luar negara.

Oleh itu, jelas Anuar, beliau sesungguhnya bekerja keras demi peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap karier seninya tanpa ada dalam kalangan peminatnya yang bersungut jika beliau mengadakan persembahan di luar Lembah Klang ataupun Kuala Lumpur.

“Selagi ada rezeki saya bekerja kuat untuk peminat. Mungkin peminat tidak menyedari perkara ini tetapi tidak mengapa.

“Bagi saya, apa salahnya saya berusaha lebih sedikit dan bekerja kuat sedikit demi mereka dan untuk mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anuar yang agak lama tidak mengadakan persembahan, akan mengadakan sebuah persembahan amal sempena sambutan Hari Ibu pada 6 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johaor Bahru.

Selain daripada Anuar, Zamani Slam dan penyanyi dari seberang Tambak Johor, Fauzie Laily turut menjayakan persembahan “An Evening With The Stars” yang bermula pada pukul 8 malam.

 

Pada majlis sidang akhbar yang diadakan pada petang ini bagi menguar-uarkan tentang persembahan amal makan malam anjuran Zalith Events & Management Sdn. Bhd., hasil kutipan penjualan tiket berharga RM298, RM398, RM598, RM798, RM998 dan RM1,598, para peminat Anuar Zain khususnya boleh mendapatkan tiket mereka dengan melayari www.ticketcharge.com.my.

“Persembahan saya selama 45 minit dan saya akan sampaikan antara tujuh ke sembilan buah lagu.

“Pada persembahan malam itu nanti, ada kelainan yang saya bawakan dan Pengarah Muzik saya pada malam persembahan nanti ialah Lee Sze Wan.

“Beliau akan membuat susunan lagu yang sesuai untuk saya persembahkan dengan iringan petikan piano dan muzik yang diprogram,” kata Anuar.

Beliau percaya, para peminat tegar Zamani juga akan hadir bagi menyaksikan persembahan selain daripada peminat Fauzie Laily. – UTUSAN ONLINE

Sumber:UtusanOnline

Leave a Reply