Dakwa Terjumpa Bayi ‘Buang’, Rupanya….. !!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan apabila tindakannya membuat laporan polis kononnya menemui seorang bayi lelaki di sebuah taman rekreasi di Bandar Tun Razak, di sini, semalam adalah laporan palsu.

Lapor Harian Metro, lelaki berkenaan bertindak membawa bayi tersebut ke Balai Polis Serdang untuk membuat laporan selepas mendakwa terjumpa bayi berkenaan secara kebetulan.

Jelas suspek berusia 60 tahun itu kepada pihak polis, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu kononnya dijumpainya dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di atas but keretanya selepas selesai bersenam jam 5.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, ketika mengambil penerangan lelaki tersebut, anggota polis berasa curiga dengan kenyataan yang dikeluarkan lelaki tersebut.

Setelah disoal siasat, lelaki itu akhirnya mengakui bahawa bayi berkenaan merupakan anaknya sendiri hasil hubungan sulitnya bersama seorang wanita yang lebih muda yang juga merupakan kekasihnya.

“Siasatan lanjut mendapati bayi berkenaan baru dilahirkan oleh teman wanitanya yang berusia 32 tahun di kediamannya di Cheras dengan menggunakan khidmat bidan kampung.

“Suspek kemudian terus membawa bayi terbabit ke balai polis dengan niat membuat laporan palsu, bagaimanapun banyak maklumat yang diberikannya itu meragukan,” katanya memetik akhbar berkenaan.

Tambah Abdul Ghani, hasil siasatan yang lebih lanjut turut mendapati suspek sudah menjalin hubungan dengan teman wanitanya itu sejak dua tahun lalu.

Selain itu suspek warga emas itu juga sudah mempunyai keluarganya sendiri dan mempunyai enam orang anak.

Berikutan kejadian itu, lelaki tersebut dan teman wanitanya ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat membuang bayi.

Sementara itu, bayi berkenaan pula dihantar ke Hospital Serdan bagi menjalani pemeriksaan, manakala ibu terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan susulan. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *